Malaysia Dateline

AMANAH Sarawak sokong Undi18, beri peluang anak muda pilih kerajaan

Semakan pra pendaftaran pemilih automatik yang dilancarkan 1 oktober lalu adalah suatu tindakan yang wajar dan dipuji.

Justeru, Setiausaha Parti AMANAH Negara Negeri Sarawak, Fadillah Sabali menggambarkan ia adalah keseriusan pihak kerajaan untuk memastikan setiap rakyat berumur 18 tahun ke atas dapat terlibat secara langsung dalam memilih wakil rakyat pada Pilihan Raya Umum akan datang.

Katanya, bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 Sarawak yang bakal diadakan dalam masa terdekat, kerajaan negeri Sarawak di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) seharusnya tidak gentar dengan penyertaan anak-anak muda yang berhak untuk memilih wakil rakyat lebih-lebih lagi sekiranya ada calon terdiri daripada kalangan mereka nanti.

“Ini merupakan peluang kepada setiap individu yang berumur 18 tahun ke atas termasuk yang belum pernah memdaftar sebagai pemilih sebelum ini untuk menyemak dan mengesahkan maklumat yang tersedia dalam senarai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) .

“Dan undi 18 ini juga berupaya mendidik rakyat untuk memahami dan menilai peranan setiap warganegara yang bertanggungjawab dalam memilih seorang pemimpin yang benar-benar jujur dan ikhlas memperjuangkan nasib mereka,” ujar Fadillah.

Sehubungan itu, jelas beliau lagi politik bukanlah sekadar kepartian malah ia lebih luas terutamanya dalam mengangkat nilai-nilai keadilan dan kesaksamaan untuk dinikmati semua rakyat di negara ini.