Amanah Sarawak tanding 13 kerusi wakili Pakatan Harapan

Amanah Sarawak tanding 13 kerusi wakili Pakatan Harapan

Tekad Amanah mewakili Pakatan Harapan untuk bertanding di 13 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) pada Pilihan Raya Negeri ke-11 (PRN-11) Sarawak kali ini merupakan usaha menyambung semula gerak kerja dalam wadah baru.

Tekad Amanah mewakili Pakatan Harapan untuk bertanding di 13 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) pada Pilihan Raya Negeri ke-11 (PRN-11) Sarawak kali ini merupakan usaha menyambung semula gerak kerja dalam wadah baru.

Demikian penegasan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Sarawak, Mohamad Fidzuan Zaidi yang menyifatkan persiapan untuk PRN telah lama dirancang sejak berada dalam parti Pas lagi.

“Namun dengan apa yang berlaku, kami tetap bangkit berpindah ke Amanah sebagai medan juang baharu.

“Dalam erti kata lain, kami di Amanah bukan saja meneruskan bahkan memperbaiki dan menambah baik kerja-kerja yang tertangguh sebentar,” ujarnya ketika dihubungi Malaysia Dateline hari ini.

Mengulas dakwaan kononnya Amanah ingin menandingi Pas yang mempertaruhkan 11 kerusi, tanggapan tersebut tidak benar memandangkan jumlah kerusi yang diputuskan untuk Amanah adalah melalui perbincangan bersama Pakatan Harapan.

“Tidak. Kami bergerak dalam kerangka Pakatan Harapan. Tidak ada kena-mengena dengan pihak yang tidak berkaitan. Amanah adalah sebahagian daripada parti yang membentuk Pakatan Harapan.

“Setiap kerusi adalah penting untuk ditentang dengan tidak membiarkan BN menang percuma,” tegasnya.

Pengundi bijak pilih Pakatan Harapan

Menurut Fidzuan, PKR dan DAP meletakkan calon masing-masing di kerusi Dun yang mereka yakin boleh memberi saingan hebat terhadap BN.

“Walaupun diketahui akan berlaku pertandingan banyak penjuru tetapi Amanah Sarawak yakin pengundi amat bijak untuk menolak BN sebaliknya memilih Pakatan Harapan yang mampu membentuk kerajaan,” tambahnya lagi.

Untuk rekod, sebanyak 11 kerusi baharu dibentuk di Sarawak selepas persempadanan semula kawasan pilihan raya menjadikan keseluruhannya berjumlah 82 kerusi bagi PRN-11 ini.

Tiga daripada 11 kerusi Dun terbabit terdiri daripada majoriti kaum Melayu/Melanau iaitu di Gedong, Kabong dan Telian manakala tiga kerusi didiami majoriti kaum Iban (Stakan, Selirik dan Samalaju).

Selain itu, dua kerusi majoriti Orang Ulu (Murum dan Long Lama), dua majoriti kaum Bidayuh (Serembu dan Triboh) serta baki satu kerusi lagi majoriti kaum Cina iaitu di Batu Kitang.

Keputusan PRN ke-10 pada 2011 menyaksikan BN menyapu 77 peratus kerusi iaitu menang 55 daripada 71 kerusi dipertandingkan.

Bagi pencapaian parti pembangkang, DAP menguasai 12 daripada 15 kerusi Dun ditandinginya; PKR hanya menang tiga daripada 49 kerusi iaitu Batu Lintang, Ba’Kelalan dan Krian manakala Pas kalah di semua lima kerusi yang ditandingi.

TAGS