Malaysia Dateline

AMANAH Sarawak tanding 9 kerusi PRN

AMANAH Sarawak akan bertanding di sembilan kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-12 yang bakal diadakan selewat-lewatnya Jun ini.

Sembilan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) itu ialah Demak Laut, Samariang, Muara Tuang, Gedong, Sebuyau, Kabong, Kuala Rajang, Semop dan Jemoreng.

Angka tersebut antara jumlah keseluruhan 82 calon PH Pakatan Harapan (PH) Sarawak dengan PKR akan bertanding di 47 kerusi manakala DAP 26 kerusi.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sarawak, Chong Chieng Jen berkata, ketiga-tiga parti komponen itu akan dipastikan tidak berlaku pertandingan tiga penjuru di setiap kerusi yang ditandingi

Menurutnya, selepas 57 tahun di bawah kerajaan sedia ada, Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak banyak perubahan yang dilakukan untuk rakyat di negeri itu terutama membabitkan infrastruktur di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Katanya, untuk itu PH berazam untuk mengubah keadaan nasib rakyat di Sarawak jika diberi peluang untuk memimpin kerajaan negeri selepas PRN-12 kelak.

“Cukup-cukuplah GPS berkuasa di negeri ini (Sarawak) walaupun telah diberi peluang selepas 57 tahun namun keadaan nasib rakyat di negeri tidak berubah semuanya.

“Banyak lagi kawasan di luar bandar dan pedalaman yang masih jauh ketinggalan,” ujar beliau selepas mengadakan Mesyuarat Bersama PH Sarawak di Kuching, hari ini.

Chong Chieng Jen

Hadir sama dalam mesyuarat itu ialah Pengerusi PKR Sarawak, Larry Sng, Pengerusi AMANAH Sarawak, Abang Halil Abang Naili dan Setiausaha AMANAH Sarawak, Fadillah Sabali serta Ahli Majlis Tertinggi PH Sarawak lain.

Pada mesyuarat hari ini, Chong menegaskan ini merupakan kali pertama PH Sarawak bersetuju dengan semua kerusi yang ditandingi tidak akan bertembung antara satu sama lain di kalangan parti gabungan DAP, PKR dan AMANAH.

“Ini permulaan yang baik pada tahun 2021 apabila DAP, PKR dan AMANAH sebulat suara untuk menggelak antara satu sama lain di kerusi yang dipertandingkan pada PRN12 nanti.

“Harapan kita semoga PH Sarawak mampu menang dan mencipta sejarah bersandarkan kekuatan yang ada sekarang selain diwakili calon-calon yang berkaliber,” tambahnya yang juga merupaka Pengerusi DAP Sarawak.

Sebanyak 47 kerusi yang akan ditandingi PKR ialah Opar, Tanjung Datu, Pantai Damai, Tupong, Satok, Batu Lintang, Asajaya, Serembu, Tarat, Tebedu, Sadong Jaya, Simunjan, Lingga, Beting Maro, Balai Ringin, Bukit Begunan, Engkilili dan Batang Ai.

Turut bakal ditandingi PKR Sarawak ialah kerusi Saribas, Layar, Bukit Saban, Kalaka, Krian, Daro, Pakan, Meluan, Ngemah, Machan, Nangka, Dalat, Tellian, Balingian, Tamin, Kakus, Katibas, Belaga, Murum, Jepak, Bekenu, Lambir, Marudi, Telang Usan, Mulu, Bukit Kota, Batu Danau, Ba’ Kelalan dan Bukit Sari.

Manakala 26 kerusi yang akan ditandingi DAP ialah Tasik Biru, Padungan, Pending, Kota Sentosa, Batu Kitang, Batu Kawah, Stakan, Mambong, Kedup, Bukit Semuja, Simanggang, Repok, Meradong, Bukit Assek, Dudong, Bawang Assan, Pelawan, Pelagus, Bukit Goram, Baleh, Tanjong Batu, Kemena, Samalaju, Piasau, Pujut dan Senadin.