Malaysia Dateline

AMANAH Sarawak terima penyertaan ahli semua kaum

Parti AMANAH Negara Negeri Sarawak adalah sebuah parti yang sentiasa menerima penyertaan daripada pelbagai kaum di negeri ini.

Pengerusinya, Abang Halil Abang Naili berkata, pintu sentiasa terbuka kepada mana-mana kaum yang mahu menyertai AMANAH sekali gus membuktikan bahawa parti ini tidak rasis dan meminggirkan masyarakat lain dalam perjuangannya.

Tegas beliau, AMANAH merupakan parti yang mendahului rakyat tanpa memilih kaum dan agama serta budaya dalam memartabatkan hak-hak sebagai warganegara di negara ini.

“Kita amat terbuka kepada mana-mana kaum lain yang bersedia bersama-sama berjuang dalam parti AMANAH ini.

“Dan ini terbukti apabila ramai kaum dari Iban, Bidayuh, Cina, India dan masyarakat pribumi lain di Sarawak yang telah mendaftar sebagai ahli setakat ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Peringkat Kaum Iban di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sebuyau hari ini.

Majlis berlangsung di Kampung Beliong, Sebuyau, Simunjan itu turut dihadiri Timbalan Pengerusi AMANAH Sarawak, Hud Andri Zulkarnaen, Pengerusi AMANAH Cawangan Sebuyau, Maxwell Rojis serta hampir 100 ahli parti.

Abang Halil menambah, bagi Cawangan AMANAH DUN Sebuyau, ahli-ahlinya adalah terdiri daripada kaum Melayu dan Iban yang majoritinya tinggal di kawasan kampung.

Tambahnya lagi, jumlah ahli AMANAH kaum Iban di Sebuyau kini telah mencecah 3,000 orang sekali gus merupakan yang teramai jika dibandingkan di DUN lain.

Manakala, katanya bagi keahlian dari kaum Cina, beberapa cawangan AMANAH berjaya ditubuhkan di Miri dan Limbang tahun lalu.

“Ini menunjukkan bahawa parti AMANAH Negara di Sarawak telah diterima baik oleh semua lapisan masyarakat di negeri ini.

“Boleh dikatakan setiap bulan, kami menerima keahlian baharu lebih-lebih lagi menjelangnya Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-15 Sarawak dalam masa terdekat ini,” tegasnya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan kesemua ahli agar menjaga nama baik parti dan menunjukkan semangat untuk bekerja demi rakyat di kawasan masing-masing.

“Bersama-samalah kita jaga nama baik parti ini kerana apa jua kita lakukan nanti, rakyat akan menilai segalanya,” jelas beliau.