AMANAH Sarawak tidak lepaskan 13 kerusi DUN ditandingi

Oleh ARIF ATAN

Parti Amanah Negara (AMANAH) Sarawak akan terus mempertahankan 13 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-12 nanti.

Timbalan Pengerusinya, Hud Andri Zulkarnaen, berkata, AMANAH Sarawak juga tidak bercadang melepaskan mana-mana kerusi kepada parti komponen dalam Pakatan Harapan (PH) melainkan ianya ditukar kepada kerusi yang lain.

Jelasnya, gerak kerja AMANAH negeri setakat ini sudah siap sepenuhnya bagi menghadapi PRN yang dijangka diadakan pada 2021.

“Seperti komponen lain dalam PH Sarawak, AMANAH negeri sudah lama merangka gerak kerja dan telah bersiap sedia sepenuhnya menghadapi PRN yang dijangka paling sengit abad ini.

“AMANAH Sarawak dalam konvensyen pada Disember lalu, telah membawa usul akan mengekalkan serta mempertahankan 13 kerusi yang dipertandingkan dalam PRN Sarawak yang lalu.

“AMANAH Sarawak juga belum bersedia atau bercadang untuk melepaskan mana-mana kerusi kepada parti komponen melainkan menukar kerusi kepada kerusi yang lain,” tegasnya dalam satu kenyataan.

AMANAH bertanding terutamanya di kawasan yang majoriti pengundinya kaum Melayu-Melanau.

Kesemua 13 kerusi DUN terbabit ialah Demak Laut, Samariang, Muara Tuang, Gedong, Sebuyau, Beting Maro, Semop, Kuala Rajang, Daro, Jemoreng, Kabong, Balingian dan Sadong Jaya.

Lima daripada kerusi terbabit iaitu Samariang, Muara Tuang, Sadong Jaya, Sebuyau dan Beting Maro menyaksikan AMANAH berdepan dengan Pas.

Mengulas lanjut, Hud Andri yang juga bekas calon DUN Beting Maro berkata, PRN Sarawak itu dijangka akan lebih mencabar dengan penyertaan parti tempatan yang tumbuh bagaikan cendawan serta penyertaan calon-calon bebas.

Walaubagaimanapun, tambahnya, AMANAH Sarawak tetap berkonsensus dalam membuat keputusan atas semangat dan setiakawan PH.

Pada 2016, keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-11 menyaksikan BN memenangi 72 daripada 82 kerusi yang dipertandingkan.

Pencapaian BN diterajui Team Adnan iaitu Tan Sri Adenan Satem melakukan kejutan dengan memenangi sebahagian besar kerusi bandar.