Malaysia Dateline

AMANAH Sarawak usul kekalkan 13 kerusi PRN11

Parti AMANAH Negara Negeri Sarawak mengusulkan supaya mengekalkan 13 kerusi yang pernah ditandingi pada Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN11) pada 2016.

Usul tersebut akan dibentangkan pada Konvensyen Negeri AMANAH Sarawak pada 9 November ini yang diadakan di Sibu, Sarawak.

Penyelaras Konvensyen Negeri AMANAH Sarawak, Fadillah Sabali berkata, Konvensyen Negeri Parti AMANAH Negara (Sarawak) kali ini merupakan yang Ke-4 sejak ditubuhkan di negeri ini.

Fadillah Sabali

Jelasnya, 13 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) yang diusul untuk dikekal ialah Demak Laut, Samariang, Muara Tuang, Sadong Jaya, Gedong, Sebuyau, Beting Maro, Kabong, Kuala Rajang, Semop, Daro, Jemoreng dan Balingan.

“Dijangkakan seramai 40 perwakilan dari Petrajaya, Kota Samarahan dan Tanjung Manis akan hadir pada konvensyen kali ini.

“Mereka akan memilih 27 calon yang bertanding untuk mengisi jawatan tertinggi parti di peringkat negeri bagi penggal 2019-2022,” kata beliau ketika ditemui di Pejabat AMANAH Sarawak di Kuching hari ini.

Menurut Fadillah, hadir untuk memberi ucaptama pada majlis perasmian nanti ialah Timbalan Presiden Parti AMANAH Negara, Datuk Seri Haji Salahuddin Ayub yang juga merupakan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia.

Manakala katanya, Presiden Parti AMANAH Negara merangkap Menteri Pertahanan Malaysia iaitu Mohamad Sabu akan menjadi tetamu kehormat pada Majlis Makan Malam “Memenuhi Harapan, Mendukung Inspirasi” bersama perwakilan nanti.

“Saya berharap semoga konvensyen kali ini akan berjalan dengan lancar dengan semua perwakilan akan mengambil perhatian dengan ucapan dua pemimpin tertinggi negara iaitu Mohamad Sabu dan Datuk Salahudin nanti.

“Ini mengambil kira kedudukan politik Sarawak yang bakal mengadakan PRN Ke-12 selewat-lewatnya 2021” ujarnya yang juga Ketua Pemuda AMANAH Sarawak.