Malaysia Dateline

AMANAH Sarawak yakin PH akan bangkit

Parti AMANAH Negara Negeri Sarawak yakin dan percaya bahawa komponen Pakatan Harapan (PH) akan mampu bangkit pada pilihan raya akan datang.

Pengerusinya, Abang Halil Abang Naili berkata, sebenarnya kekalahan calon PH mempertahankan kerusi Parlimen Tanjung Piai pada PRK Sabtu lalu, tidak menjejaskan suara majoriti PH di Dewan Rakyat.

Malah, katanya kekalahan tersebut sudah dijangkakan apabila jentera calon lawan memainkan isu sentimen kaum khususnya kepada pengundi -pengundi Cina.

“Ya kita terima keputusan dengan hati terbuka. Apa pun saya yakin PH akan bangkit pada pilihan raya akan datang khususnya Pilihan Raya Umum (PRU).

“Justeru, kami sebagai rakan dalam komponen PH tetap bekerjasama dengan lebih erat lagi bagi mencatur strategi berkesan untuk mencapai kemenangan nanti,” ujar beliau ketika diminta mengulas kekalahan calon PH pada PRK Tanjung Piai Sabtu lalu.

Calon PH yang diwakili Bersatu, Haji Karmaine Sardini hanya meraih 10,380 undi berbanding wakil dari Parti MCA-BN Wee Jeck Seng dengan 25,466 undi.

Keseluruhannya majoriti yang berjaya diperolehi Wee Jeck Seng ialah sebanyak 15,086 undi.

Ditanya adakah keputusan kekalahan tersebut menjejaskan persiapan komponen PH terutamanya kepada AMANAH di Sarawak, beliau menjelaskan bahawa isu di Tanjung Piai dan di negeri ini adalah berbeza.

Katanya, di Tanjung Piai PH berhadapan dengan BN, Gerakan, Berjasa dan dua calon Bebas berbanding di Sarawak yang mana PH bakal ditentang oleh parti pemerintah Gabungan Parti Sarawak (GPS).

“Lainlah andai BN mempertaruhkan calonnya di Sarawak nanti, maka perang pilihan raya di Sarawak dilihat amat dinamik.

“Begitu juga, seandainya Pas turut meletakkan calon di sini di samping banyak lagi parti tempatan seperti PSB, Sedar termasuk Bebas.

“Justeru, saya menjangkakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12 nanti amat sengit kerana banyak parti termasuk BN akan mempertaruhkan calon masing-masing,” jelas beliau lagi.

Sehubungan itu, Abang Halil menambah, Parti AMANAH Sarawak akan mempersiapkan jentera gerak kerja di peringkat negeri dan kawasan di samping memperkemaskan data-data berkaitan isu, keahlian dan program yang akan dilaksanakan nanti.