Malaysia Dateline

AMANAH Sarawak yakin PRN12 dibubarkan bila-bila masa

Parti AMANAH Negara Negeri Sarawak yakin bahawa Kerajaan Negeri Sarawak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam masa terdekat ini.

Setiausahanya, Fadillah Sabali berkata, berdasarkan kenyataan daripada beberapa pemimpin kerajaan negeri di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) beberapa hari ini, adalah tidak mustahil Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 bakal diadakan dalam masa terdekat ini.

Katanya, kenyataan daripada Ketua Menteri , Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg telah mengukuhkan lagi bahawa pembuburan DUN adalah semakin dekat atau selawat-lewatnya penghujung tahun ini.

“Walaupun situasi pandemik COVID-19 di negara ini semakin membimbangkan tetapi kami tetap yakin kerajan negeri akan membubarkan DUN bila-bila masa.

“Bagaimanapun, harapan saya agar PRN12 ditangguh dahulu kerana tempoh tamat DUN ialah selewat-lewatnya Jun tahun depan.

“Ini kerana, kita melihat situasi dan keadaan kes COVID-19 yang semakin serius di negara ini walapun di Sarawak dalam keadaan terkawal,” ujar beliau ketika ditemui selepas Program Pemantapan Jentera di Pejabat AMANAH di Kuching hari ini.

Fadillah menegaskan, walaupun situasi COVID-19 terkawal di Sarawak tetapi sekiranya diadakan PRN12 kelak, ia memungkinkan berlaku penularan kes yang banyak seperti di PRN Sabah pada September lalu.

“Kita sebenarnya tidak mahu apa yang berlaku di Sabah, turut terjadi di Sarawak jika PRN12 diadakan dalam masa terdekat ini.

“Apa pun, terpulanglah kepada Ketua Menteri kerana kuasa membubarkan DUN terletak di tangannya,” tambahnya lagi.

Mengenai Program Pemantapan Jentera yang diadakan selama dua hari, beliau berkata ia adalah persiapan akhir bagi memberi input dan strategi berkaitan kerusi DUN yang akan ditandingi nanti.

Jelasnya, segala gerak kerja sudah pun bermula sebelum ini tetapi ia hanya dilaksanakan dalam berskala kecil mengikut Standard Operasi Prosedur(SOP) yang ditetapkan.

Semalam, Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menyatakan PRN12 pasti akan diadakan kerana kerajaan negeri berjaya membendung penularan pandemik COVID-19.

Bagaimanapun, beliau menasihatkan ‘orang luar’ agar tidak masuk campur dengan senario politik di Sarawak.

“Saya belum ada tarikh muktamad untuk PRN12 Sarawak dan tidak pasti bila ia akan diadakan.

“Tetapi, saya ingin nasihatkan kepada ‘orang luar’ supaya tidak masuk campur dengan keadaan Sarawak kerana pilihan raya ini bukan urusan mereka,” katanya.

Abang Johari turut terkejut dengan tindakan pembangkang baru-baru ini yang menentang PRN12 Sarawak.

“Saya menolak permintaan pembangkang untuk menangguhkan PRN12 Sarawak,” tegasnya.

Jangka waktu Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak sekarang akan berakhir pada Jun 2021.

Walaupun beliau tidak meminta pembubaran, DUN akan secara automatik bubar apabila tempohnya tamat dan pengundian mesti diadakan dalam tempoh 60 hari.