Malaysia Dateline

AMANAH sasar menang DUN Sg Dua

Tiada lagi ruang untuk tolak ansur bagi memastikan kerusi Dun Sg. Dua berjaya dimenangi oleh AMANAH bersama PH dalam pilihan raya umum (PRU) ke 15 kali ini.

Malah kerusi yang pernah ditandingi oleh AMANAH dalam PRU ke 14 tersebut mampu menjadi milik PH dalam PRU yang akan datang.

Ketua AMANAH kawasan Tasek Gelugor, Mohd Taufek Abd Rahman optimis pelbagai pendekatan yang telah pun dilaksanakan oleh AMANAH melalui program bersama agensi kerajaan negeri Pulau Pinang serta peduli rakyat berjaya menambat hati penduduk khususnya pengundi dalam kawasan Dun Sg Dua.

“AMANAH kawasan Tasek Gelugor melalui Penyelaras Dun Sg Dua telah pun bergerak bersama organisasi seperti MPKK, PPK dan JPWK membantu pelbagai golongan masyarakat yang memerlukan serta infrastruktur dan keperluan penduduk kampung.

” Melalui program ‘Sg Dua Kesayangan Ku’ AMANAH telah pun menghabiskan peruntukan sebanyak RM120, 000 bagi membantu golongan asnaf, fakir miskin, mereka yang uzur serta juga program bersama kariah masjid-masjid dan pertubuhan bukan kerajaan dan lain-lain program lagi.

” Tumpuan terhadap golongan muda dan wanita tidak dikesampingkan dan turut menjadi agenda dalam pelbagai program yang telah diatur kerana dua pertiga dari pengundi Dun Sg Dua merupakan wanita dan golongan muda,” tegas beliau yang juga merupakan Penyelaras Kadun Sg Dua.

Kata beliau manakala satu pertiga lagi adalah golongan veteran dan warga emas yang turut menjadi pengundi bagi kawasan tersebut.

Dalam PRU ke -14 yang lalu pertandingan tiga penjuru bagi kerusi Dun Sg Dua menyaksikan calon Umno, Muhamed Yusoff Mohd Noor memperolehi 7,314 undi dan calon AMANAH, Yusri Ishak mendapat 5,115 serta Pas melalui calonnya, Zahadi Mohd memperolehi 5,380 undi dengan jumlah pengundi adalah 20,558 serta 83 peratus adalah pengundi Melayu.