Malaysia Dateline

AMANAH Sebuyau kembalikan gerakkan jentera

Selepas banyak program dan aktiviti terpaksa ditangguhkan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)18 Mac lalu, kini Parti AMANAH Cawangan Sebuyau mula kembali menggerakkan jentera di seluruh kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sebuyau.

Menurut Pengerusinya, Maxwell Rojis, seluruh cawangan telah diarahkan untuk mengatur kembali program-program di lapangan masing-masing.

Katanya, antara program yang akan dilaksanakan ialah pendaftaran ahli baru yang sebelum ini masih dalam proses di samping aktiviti menyantuni penduduk di sekitarnya.

“Kita telah pun memberi arahan kepada jentera cawangan di DUN Sebuyau untuk kembali mengatur dan melaksanakan program di kawasan masing-masing dalam masa terdekat ini.

“Selain itu, sesi pendaftaran ahli baru turut diadakan kerana sudah tiga bulan proses itu tergendala ekoran PKP sejak 18 Mac lalu,” ujar beliau.

Beliau yang juga merupakan Naib Pengerusi 2 AMANAH Sarawak menjelaskan, setakat ini jumlah ahli yang telah berdaftar di Sebuyau ialah seramai 1,130 orang.

“Saya menjangkakan lebih ramai ahli baru yang bakal menyertai kita selepas ini,” tambanya.

Ditanya persiapan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12 nanti, Maxwell menegaskan bahawa AMANAH Sebuyau sudah bersiap sedia menghadapinya bila-bila masa.

Katanya lagi, beliau telah mengarahkan semua jentera di kawasan diaktifkan bagi mendekati penduduk dan pengundi selain sedaya upaya menyelesaikan beberapa masalah yang timbul.

“Saya yakin jentera yang sedia ini mampu memberi cabaran kepada parti lawan yang lebih besar apatah lagi jentera yang dikuasai parti kerajaan.

“Dan kami tidak sesekali akan patah semangat dan gentar kerana kuasa rakyat yang menentukannya kelak,” ujarnya.