Malaysia Dateline

AMANAH sedia bertanding di DUN Semop, Sarawak

Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Sarawak bakal meletakkan calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semop pada Pilihan Raya Negeri (PRN)Ke-12 Sarawak akan datang.

Setiausahanya, Fadillah Sabali berkata, walaupun kerusi DUN Semop merupakan kubu kuat Gabungan Parti Sarawak (GPS), namun AMANAH Sarawak bersedia meletakkan calon di kawasan terbabit.

Katanya, bersandarkan senario politik ketika ini yang semakin terbuka, adalah tidak mustahil DUN Semop mampu menyumbangkan kemenangan kepada AMANAH pada PRN12 kali ini.

“Secara dasarnya, AMANAH Nasional telah bersetuju dengan pimpinan negeri untuk meletakkan calon di DUN Semop nanti.

“Ini berikutan AMANAH pernah bertanding di kerusi itu pada PRN11 selain Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 yang lalu untuk Parlimen Tanjong Manis.

“Manakala DUN Semop adalah di bawah Parlimen Tanjong Manis selain DUN Kuala Rajang,” ujar Fadillah.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa menyampaikan sumbangan kepada golongan asnaf dalam Program Ziarah Kasih di Pulau Bruit, Daro di sini hari ini.

Menurutnya lagi, AMANAH sentiasa memperjuangkan beberapa isu berkaitan kebajikan rakyat di Semop khususnya masalah air, hubungan pengangkutan dan perolehan sumber pendapatan yang tidak mampan yang belum dinikmati sepenuhnya penduduk di kawasan terbabit.

Katanya, walaupun pada beberapa pilihan raya kerajaan negeri semasa era bersama Barisan Nasional (BN)dan kini dalam Perikatan Nasional (PN), tetapi masalah-masalah ini belum diselesai sepenuhnya sehingga kini.

“Sebenarnya, penduduk dan rakyat di kawasan Semop masih lagi menanti solusi masalah air dan jalan raya yang selesa sehingga kini walaupun kerajaan negeri di bawah GPS telah lama berjanji.

“Kita akan memperjuangkan isu-isu asas ini yang gagal dinikmati penduduk di DUN Semop khususnya di kawasan Pulau Bruit yang agak jauh ketinggalan walaupun sudah begitu lama dijanjikan oleh parti pemerintah,” tegasnya lagi.

Mengenai Program Ziarah Kasih yang diadakan di Pulau Bruit, Fadillah menambah, beliau berpeluang beramah mesra dengan penduduk di Kampung Bruit, Penipah, Salah Kecil, Betanak, Penipong dan Penuai sambil menyampaikan sumbangan kepada golongan asnaf.

“Alhamdulilah…dalam program ini saya berpeluang menyantuni penduduk setempat dan sambutan yang diterima amat menggalakkan,” tambahnya.