Amanah sedia bertemu PAS di mahkamah, kata Hanipa

Pengerusi Biro Undang-undang  Pati Amanah Negara (Amanah), Hanipa Maidin berkata, Amanah sedia bertemu PAS di mahkamah  berhubung kenyataan presidennya Mohamad Sabu yang didakwa mengaitkan PAS  dengan kumpulan pengganas.

Hanipa  menjelaskan  parti itu hormat pada hak semua pihak, termasuk PAS, untuk menyaman mana-mana pemimpin mereka.

“Tetapi kami hendak ingatkan PAS bahawa Amanah tidak pernah menganggap PAS sebagai musuh politiknya,” kata Hanipa dalam satu kenyataan hari ini.

Hanipa yang juga Ahli Parlimen Sepang dan bekas peguam PAS berkata, beliau juga telah membentuk pasukan peguam untuk mempertahankan Mohamad jika PAS serius mahu mengheretnya ke mahkamah.

Hanipa bagaimanapun mengingatkan bahawa Amanah  juga mempunyai hak membuat tuntutan balas terhadap dakwaan pemimpin PAS, jika kes itu dibawa ke mahkamah.

“Saya ingin menegaskan terdapat tuduhan liar, tidak berasas dan fitnah ditujukan oleh pemimpin PAS kepada  Amanah. Amanah juga berhak untuk memfailkan tuntutan balas kepada PAS sekiranya PAS masih mahu memilih mahkamah sebagai medan pertempuran,” ujarnya.

Kenyataan Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu itu dikatakan dibuat dalam wawancara bersama sebuah portal berita pro pembangkang, awal bulan ini.

Pada Sabtu  Hanipa dipetik sebagai berkata tiada sebab untuk menarik balik kenyataan itu walaupun PAS sudah membuat laporan polis terhadap bekas timbalan presiden mereka itu.

Terkini  PAS sedang menunggu keputusan daripada pemimpin pusat sebelum memulakan sebarang tindakan undang-undang kepada Mohamad.

 

TAGS