Malaysia Dateline

AMANAH sedia hadapi gabungan ‘No-Pas’

Parti Amanah Negara (AMANAH) menyeru seluruh pemimpin dan ahli bersedia menghadapi serangan isu agama dan kaum ke arah penguasaan majoriti umat Islam dan rakyat Malaysia pada masa akan datang.

Presidennya Mohamad Sabu berkata isu gabungan Umno dan Pas atau ‘No-Pas’ yang sebelum ini bermula dalam gelap kini sudah semakin menjadi realiti.

Katanya hubungan kedua-dua parti ini semakin intim ke arah pembentukan sebuah gabungan politik berikutan kerjasama mereka di Pilihan Raya Kecil (PRK)di Semenyih.

“AMANAH hendaklah mengakui hakikat untuk membuat pendekatan dan strategi baru bagi menguasai pemikiran rakyat khususnya orang Melayu Islam di negara ini.

“Pendekatan Islam Rahmat Untuk Semua atau Rahmatan Lil Alamin perlu lebih menonjol untuk diterjemahkan dengan mengambil kira kewujudan pelbagai kaum dan agama di Malaysia,”katanya melalui entri di Facebooknya hari ini.

Beliau juga berkata AMANAH akan terus berusaha menghadapi politik order baru ini bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 akan datang.