Malaysia Dateline

AMANAH sedia kuota 30 peratus kerusi calon wanita

AMANAH bersedia untuk memberikan kuota sehingga 30 peratus kerusi untuk calon sayap wanitanya, kata Setiausaha Angkatan Wanita AMANAH Negara (AWAN) Nasional, Soraya Salim.

Memetik Facebook AWAN Nasional, Soraya berkata perkara tersebut dipersetujui Pengarah Pilihan Raya AMANAH, Datuk Asmuni Awi yang juga meletakkan syarat supaya sayap wanitanya perlu bersedia dengan senarai yang akan dikeluarkan.

Soraya berkata demikian dalam program tertutup bersama jentera AWAN seluruh negara yang dibuat secara atas talian baru-baru ini.

“Parti AMANAH bersedia untuk memiliki seorang Presiden parti daripada kalangan wanita. Kata Presiden ketika berucap dalam Konvensyen AMANAH Nasional 2020,” kata AWAN yang memetik ucapan Soraya dalam forum #choosetochallenge: Women Leaders Accelerating Forward.

Forum tersebut diadakan bersempena program Women2win: Global Asian Women Leaders Network Cohort 2020/2021 anjuran Institut Wanita Berdaya Selangor yang dipengerusikan oleh Exco Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud.

Sementara itu AWAN berkata, perkongsian beliau tersebut telah memperlihatkan komitmen dan kesungguhan AMANAH dalam memberikan ruang dan peluang seterusnya mendokong politik wanita dalam parti untuk di angkat ke peringkat pembuat keputusan.