AMANAH sedia ‘Menjunjung Amanah Rakyat’ tamatkan riwayat kerajaan kleptokrat BN

Tun Dr Siti Hasmah dan isteri Presiden AMANAH Normah Alwi di majlis perasmian Konvensyen AMANAH Nasional.

Lambang kegagalan tadbir-urus pentadbiran Najib Razak yang mendapat jolokan ‘Kerajaan Kleptokrat Dunia’ terpapar di persada dunia dalam rompakan terbesar ke atas syarikat milik negara 1MDB yang melibatkan penyangak-penyangak antarabangsa seperti Jho Low, al-Qubaishi dan al-Huseiny.

Kesemua rompakan ini berada dalam ‘pengetahuan’ individu yang dinamakan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) sebagai MO1 dan kuncu tempatan seperti mantan ketua pegawai eksekutif (CEO) 1MDB Shahrol Aral Ibrahim Halmi membabitkan wang berjumlah RM19.24 bilion (US$4.5 bilion).
“Sangat mewah dan lumayan habuan rompakan ini yang kini dimercutandakan dengan ‘rantai berlian merah jambu’ berharga RM116.8 juta (US$27.3 juta) untuk isteri MO1 dan pelbagai pembelian hartanah, aset-aset kemewahan yang luar biasa oleh penyangak-penyangak antarabangsa ini,” ujar Presiden AMANAH Mohamad Sabu.

Lebih mengaibkan, tambah beliau ketika Mahkamah Singapura dan Abu Dhabi telah mensabitkan kesalahan jenayah di bawah akta ‘penggubahan wang haram’ ke atas individu-individu tersebut serta menutup bank swasta Swiss seperti BSI dan Falcon di Singapura, di negara kita sendiri belum ada seorang ‘penyamun’ pun diheret ke mahkamah dan jauh lagi untuk disabitkan kesalahan.

Berucap menyampaikan Pidato Presiden pada Konvensyen AMANAH Nasional ke-2 di sebuah hotel di Alor Setar, Mohamad memberi pengiktirafan kepada Gabernor Bank Negara kerana telah mendedahkan kepada pihak ketua pembangkang bahawa Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengenakan penalti terbesar di negara ini, sebanyak RM115.8 juta ke atas institusi kewangan dalam urusniaga bersabit 1MDB.

“RM53.7 juta dikenakan ke atas AmBank Group atas ‘ketidakpatuhan’ (non-compliance) bersabitan urusniaga 1MDB dan saya yakin adalah atas pembabitan dua akaun tersohor MO1 berjumlah RM681 juta itu.

“Soal besarnya siapa pula yang bayar baki RM62.1 juta lagi? 1MDB sendiri? Ya, kenapa perlu bayar kalau benar tidak ada apa-apa masalah dalam urusniaga 1MDB? Masih adakah lagi rakyat Malaysia yang bertanggapan bahawa angkara 1MDB ini cerita tahyol rekaan Amerika dan Yahudi, untuk menjatuhkan sebuah kerajaan Islam di Malaysia ini?

“Bila lagi Peguam Negara mahu membuka kembali siasatan kerana beliau telah mengisytiharkan keputusan NFA atau ‘No-Further Action’ sedikit waktu dahulu? Ada pula yang mudah ‘berpuashati’ dengan program rasionalisasi 1MDB oleh Najib, kononnya akan segera selesai masaalah timbunan hutangnya,” ujar beliau.

Menurut Mohamad, sangat malang rakyat di negara ini kerana dana untuk membangunkan rakyat teramai diperlakukan oleh kerajaan kleptokrat sebegini rupa.

Justeru beliau berkata, di ambang PRU ke-14 Konvensyen Parti Amanah Negara bertekad untuk menggapai hasrat dan cita-cita rakyat, bagi menamatkan segala kebobrokan dan kezaliman kerajaan kleptokrat Umno-BNdengan mengangkat tema ‘Menjunjung Amanah Rakyat’.

Sejumlah 765 perwakilan daripada 153 AMANAH kawasan seluruh negara menghadiri konvensyen yang berlangsung selama dua hari dan berakhir esok.

Antara tetamu utama yang hadir pada majlis perasmian ialah Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad, Presiden Pakatan Harapan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Ketua Menteri Pulau Pinang yang juga Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Timbalan Presiden PPBM Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Selain wakil-wakil kedutaan asing, turut hadir wakil Parti Keadilan Sejahtera (PKS) Indonesia, wakil Parti Persatuan Pembangunan (PPP) Indonesia dan badan bukan kerajaan (NGO).

8.0
OVERALL SCORE
: 8.0
Have no any user vote
CATEGORIES
TAGS