Malaysia Dateline

AMANAH sedia peguam percuma bantu penjual colek hadapi saman RM50 ribu

Pimpinan AMANAH Nasional yang diwakili oleh Hazmi Hassan di Kota Bharu malam tadi telah menyerahkan sumbangan kepada peniaga colek Azizi yang disaman RM 50 ribu sebagaimana tular baru-baru ini.

Sumbangan wang tunai berjumlah RM 1500 itu dikirim oleh Presiden AMANAH Mohamad Sabu, Timbalannya Datuk Seri Salahuddin Ayub, dan Pengarah Komunikasi halid Samad.

Hazmi menyampaikan sumbangan kepada Azizi

Hazmi yang juga Ketua Pemuda AMANAH Kelantan itu turut memberi jaminan dari pimpinan AMANAH Nasional untuk memastikan penjual colek ini tidak keseorangan hadapi kompaun RM 50 ribu itu.

“AMANAH akan sediakan peguam secara percuma melalui KANUN untuk uruskan kes saman melampau seperti ini, dan bantuan guaman kita adalah untuk semua yang teraniaya,” kata beliau.

Menurut Hazmi, sumbangan daripada pimpinan AMANAH Nasional sebagai tanda solidariti, kerana penjual colek ini ada tanggungan keluarga yang ramai termasuk menjaga anak yatim, pendapatan pula tidak seberapa kerana berniaga di dalam kampung sahaja.

“Kita juga tidak menyalahkan mana-mana pihak atas insiden saman melampau seperti ini, cuma pihak kita akan pastikan suatu pembelaan yang adil diberikan, ujar beliau ketika menyampaikan sumbangan itu,”katanya.

Sebelum ini, tular kisah tentang seorang peniaga colek dalam sebuah kampung di Kota Bharu yang rela masuk penjara kerana tidak mampu membayar saman RM 50 ribu.

Rentetan dari kisah saman yang tular itu, satu kunjungan dibuat oleh wakil AMANAH Kelantan kepada peniaga colek terbabit bagi mendapatkan maklumat sebenar, sebagaimana dalam video yang disiar dalam saluran YouTube Jeming Hassan.