AMANAH Selangor adakan Munajat Perdana Untukmu Gaza malam ini

AMANAH Selangor adakan Munajat Perdana Untukmu Gaza malam ini

Parti AMANAH Negara (AMANAH) Selangor menyeru ahli-ahlinya untuk menghadiri Munajat Perdana Untukmu Gaza pada malam ini yang akan diadakan di Dataran Kemerdekaan Shah Alam.

Munajat perdana akan bermula jam 7.00 petang hingga 11.00 malam.

Menurut Setiausaha AMANAH Selangor Kamarul Hisham Yoep Hashim dalam satu surat beliau menyeru sokongan ahlinya dari kawasan-kawasan untuk turun bersama-sama bagi menyatakan sokongan dan bermunajat bagi saudara seIslam di Gaza yang diserang Regim Israel.

Program munajat ini adalah anjuran bersama Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Pertubuhan Asatizah Care, pertubuhan Kebajikan Ehsan Ummah Selangor dan Amal Relief Malaysia.

Munajat pada malam ini akan dimulakan dengan solat maghrib berjemaah, tazkirah, solat isyak dan solat hajat, kemudian persembahan nasyid turut diadakan oleh beberapa personaliti dan artis terkenal dan diikuti dengan ucapan-ucapan para tetamu yang diundang.

Keadaan di Gaza kembali tegang apabila Regim Israel melancarkan serangan ke atas Gaza dan menambah jumlah tentera mereka di kawasan sempadan pada minggu lalu sebagai tindak balas pelancaran roket oleh Hamas.

Serangan pada Isnin tercetus selepas tujuh penduduk Israel tercedera berdekatan Tel Aviv susulan serangan roket Hamas.

Ketegangan itu terus memuncak dua minggu sebelum Israel melakukan pilihan raya yang menyaksikan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu berusaha mengekalkan kuasa yang diperolehi sedekad yang lalu.