Malaysia Dateline

AMANAH Selangor bersedia membantu Dun Demak Laut

Parti AMANAH Negara Negeri Selangor bersedia membantu AMANAH Cawangan Demak Laut bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 Sarawak akan datang.

Naib Pengerusi 2, Mariam Abdul Rashid berkata, AMANAH Selangor merupakan negeri angkat kepada AMANAH Demak Laut sejak PRN11 lalu.

Justeru,untuk PRN12 yang dijangka 2021,AMANAH Selangor sekali lagi diberi tugas dalam membantu rakan-rakan ahli AMANAH di Demak Laut nanti.

Katanya,pimpinan tertinggi AMANAH Selangor bersiap sedia untuk turun padang pada bila-bila masa bagi melaksanakan program bersama ahli parti di Demak Laut.

“Sebenarnya kami dari AMANAH Selangor amat teruja apabila turun membantu rakan-rakan parti di Cawangan Demak Laut.

“Sebelum ini pun,kami pernah bekerjasama dalam menjayakan program dan aktiviti di sekitar kampung di Dewan Undangan Negeri(Dun) Demak Laut.

“Oleh demikian,saya yakin dengan kerjasama erat ini akan mampu memenangkan calon dari parti AMANAH nanti,” jelas beliau yang juga merupakan Pengerusi AMANAH Kawasan Subang,Selangor.

Mariam berkata demikian ketika ditemui di Kuching selepas hadir menziarahi Ajibah Bujang yang kematian suaminya baru-baru ini di Kampung Tabuan Hilir.

Sepanjang dua hari di Kuching,rombongan seramai enam jawatankuasa dari AMANAH Selangory yang diketuai beliau sempat mengadakan program sumbangan awal persekolahan dan bantuan berupa barangan dapur asnaf.

Jelasnya,AMANAH Selangor dan pimpinan AMANAH Sarawak termasuk Demak Laut akan merangka dan melaksanakan program sepanjang tahun hadapan bagi menggerakkan gerak kerja khususnya menyantuni penduduk dan masyarakat kampung.

“In shaa Allah…tahun hadapan kami bersama pimpinan AMANAH Sarawak dan Demak Laut akan merancang pelbagai program dan aktiviti kemasyarakatan di samping memberi penerangan berkaitan inisiatif yang disediakan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) seperti MySalam,PeKaB40 dan iSuri kepada penduduk kampung,” ujar beliau lagi yang merupakan jawatankuasa tertinggi AWAN Nasional.