AMANAH Selangor dapat 9 kerusi Dun, 3 masih berunding

AMANAH Selangor dapat 9 kerusi Dun, 3 masih berunding

Parti AMANAH Negara (AMANAH) dijangka akan memperoleh sekurang-kurangnya 12 kerusi daripada 52 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Selangor dalam Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang.

Sebanyak 6 kerusi daripada 52 kerusi masih lagi bertindih membabitkan tuntutan oleh empat parti gabungan dalam Pakatan Harapan (PH).

Pengerusi AMANAH Negeri Selangor Ir. Izham Hashim berkata, sebanyak 3 kerusi yang dituntut AMANAH iaitu di Lembah Jaya, Sri Serdang dan Sungai Burung masih bertindih.

Manakala 3 lagi kerusi di Dusun Tua, Kota Damansara dan Sungai Panjang dituntut PKR, Bersatu dan DAP.

“Masih ada enam kerusi yang bertindih belum selesai rundingan yang mana tiga kerusi dituntut Amanah. Jika rundingan ini selesai AMANAH akan dapat 12 kerusi negeri.

“Kami (Pakatan Harapan) akan muktamadkan pada minggu hadapan,” ujarnya ketika ditemui Malaysia Dateline.

Sebanyak 9 kerusi yang telah diagihkan kepada AMANAH adalah di Bangi, Morib, Hulu Kelang, Chempaka, Taman Templer, Paya Jaras, Sabak, Meru dan Hulu Bernam.

Bagi kerusi Parlimen di Selangor, AMANAH memperoleh 5 kerusi iaitu Shah Alam, Sepang ,Kota Raja, Kuala Selangor dan Hulu Langat yang diumumkan dalam Konvensyen Pakatan Harapan pada 7 Januari, AMANAH diberikan 27 kerusi Parlimen bagi seluruh negeri.

Bagaimanapun katanya, PH Selangor telah sepakat untuk menukar kerusi yang diagihkan di saat akhir apabila persempadanan semula kawasan pilihan raya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) diluluskan kabinet.

“Kita akan tengok balik keputusan kerajaan mengenai persempadanan ini yang akan diluluskan kelak. Kawasan mana yang akan terlibat, Pakatan Harapan Selangor bersedia untuk ‘switching’ kerusi jika perlu ‘suka sama suka’ untuk kawasan yang terbabit,” ujarnya yang pastinya tidak akan mengubah bilangan kerusi yang telah diagihkan kepada setiap parti.

Ini ekoran dilihat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam meneruskan rancangan persempadanan semula kawasan pilihan raya telah mengetepikan semua saman yang dikemukakan PH Selangor di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

Dijangka minggu hadapan  Kerajaan akan membentangkan usul persempadanan baharu itu untuk mendapat kelulusan dalam persidangan Parlimen penggal terakhir ini Dewan Rakyat.

Ditanya mengenai barisan calon AMANAH di Selangor, Izham berkata, gandingan pelbagai peringkat usia dan pengalaman yang memenuhi ciri ‘calon kebolehmenangan’ (winable candidate) menjadi kriteria untuk calon yang akan ditonjolkan AMANAH di Negeri Selangor.

“Kita seimbang ada wanita, anak muda dan orang lama yang sudah berpengalaman menjadi wakil rakyat sebelum ini.

“AMANAH tiada masalah untuk mencari calon dan jentera kita yang paling aktif dan akan bersama tiga rakan parti dalam gabungan untuk memantapkan Pakatan Harapan di Selangor ini,” ujarnya.

Berkaitan isu yang dimainkan Umno-BN sejak akhir-akhirnya termasuklah terkini krisis air di Selangor, Izham optimis isu itu tidak akan menjejaskan sokongan pengundi terhadap Pakatan Harapan untuk terus kekal berkuasa di negeri itu.

Begitu juga dengan 45 kerusi Dun di Selangor yang disasarkan Pas bersama blok ketiga Gagasan Sejahtera ujarnya lagi, tidak akan mengugat kekuatan Pakatan Harapan dalam PRU14 kali ini.

“Nak kata isu air-bukan sahaja di Selangor, ada juga masalah di negeri lain. Saya tidak nampak krisis air pengundi akan tolak kerajaan negeri berbanding dengan apa yang telah ditawarkan oleh kerajaan negeri selama dua penggal di Selangor.

“Pas pula tidak akan mampu membawa sebarang persaingan kali ini kerana Pas tidak dapat sokongan kaum lain.

“Pengundi dikalangan orang Melayu juga keliru. Pengundi maklum situasi terkini bahawa Pakatan Harapan akan lawan BN tetapi Pas sebuah parti pembangkang sebenarnya nak lawan siapa…jadi kali ini Pas akan hilang banyak kerusi?,” katanya.

Izham turut memberitahu beliau akan bertanding di  kerusi Dun Chempaka pada PRU14 nanti.

Pada PRU13 lalu, N21 Dun Chempaka  menyaksikan pertandingan dua penjuru antara Pas dan BN yang membawa kemenangan kepada  wakil rakyat Datuk Iskandar Abdul Samad  yang menang majoriti 21,117  menewaskan  Muhd Faizal Sufar (BN).

5.0
OVERALL SCORE
1 user vote x 10.0