AMANAH Selangor mahu anak muda rasa keberadaan mereka

AMANAH Selangor mahu anak muda rasa keberadaan mereka

Pemuda AMANAH Negeri Selangor mengingatkan setiap ahli untuk tampil dengan mekanisma khusus yang dapat memastikan golongan muda berusia 18 tahun merasai keberadaan AMANAH bersama mereka.

Bekas ketuanya, Abbas Salimmi Adzmi berkata, cabaran setiap ahli kini lebih tertumpu untuk mendekati segmen tersebut dan perlu terus menjadi ejen mempertahankan kerajaan negeri di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Abbas Salimmi Azmi

Katanya, sebagai sayap utama, pemuda AMANAH perlu lahir dengan strategi bagi menarik sokongan anak muda dan bersiap siaga menghadapi cabaran mendapatkan sokongan golongan tersebut.

“Untuk merealisasikan hasrat parti ingin menjadikan Pakatan Harapan (PH) sebagai pilihan, maka setiap dari kita wajib bekerja dan turun ke lapangan bertemu dengan rakyat dan pastikan pemuda AMANAH Selangor terus relevan. Kita bertekad untuk terus menjadi ejen kepada kerajaan.

“Segmen ini perlu merasai keberadaan kita bersama mereka. Apabila tiba waktu mereka buat keputusan di kotak mengundi nanti, mereka akan buat keputusan berdasarkan kerja kuat kita dan menyokong PH sebagai kerajaan bagi tempoh seterusnya

“Tidak perlu pedulikan mereka yang melaungkan istilah mengarut seperti kerajaan sepenggal. Itu hanyalah permainan minda separuh sedar mereka yang tidak memahami kepentingan mempertahankan kerajaan yang ada pada hari ini,” katanya dalam Majlis Perasmian Konvensyen Pemuda AMANAH Negeri Selangor, pada Ahad.

Dalam pada itu, beliau menggariskan dua elemen penting sebagai persediaan memperkemaskan pimpinan itu dalam menghadapi cabaran mengekalkan kerajaan yang mampu memenangi hati dan kepercayaan rakyat.

Beliau menekankan setiap ahlinya tentang kepentingan menuntut Ilmu dan mengasah kemahiran berfikir dalam mengendali setiap maklumat di media sosial yang dapat memperbaharui pemikiran ahli itu sendiri.

“Kita tak mahu pemuda AMANAH tak mahir mengupas sesuatu isu atau hukum dan malas mencari ilmu. Pembacaan perlu dijadikan hobi. Jika kita sanggup bersengkang mata membaca ketika di zaman belajar dahulu, kenapa tidak kita teruskan amalan membaca sehingga ke hari ini.

“Mencari ilmu tiada kesudahan dan tiada penghujungnya. Jika kita lihat tabiat pemimpin hebat, kebanyakannya menjadikan membaca sebagai budaya seperti Tun Dr Mahathir yang suka membaca dan menulis.

“Jika kita lihat budaya masyarakat di negara maju pula, mereka tidak membiarkan masa kosong mereka dengan sia-sia tanpa membaca. Maka sebagai peneraju kepada Malaysia baharu ini, pemuda wajib mencintai ilmu,” katanya.

Malah, beliau turut menekankan pentingnya untuk setiap ahli menjadi pengguna media massa yang bijak khususnya dalam mendapatkan maklumat agar tidak mudah terpengaruh dengan penyebaran berita palsu.

Jelasnya, sikap berhujah di media sosial untuk memerli, memperlekeh dan membias kemarahan merupakan tindakan tidak bijak yang perlu dielakkan kerana ia hanya akan memperlihatkan kelemahan ahli dalam menggunakan media sosial.

“Pemuda Amanah perlu bijak menggunakan media sosial khususnya dalam mendapatkan informasi. Tapi bila kita gunakan media sosial sebagai sumber informasi dan disiplin dalam penggunaannya, maka kita akan lihat karakter Pemuda AMANAH itu hebat kerana sentiasa mengetahui isu terkini.

“Informasi itu juga perlu dipandu dengan ilmu untuk kita menilai kualiti dan kesahihannya. Tanpa panduan ilmu, informasi yang diperolehi tidak akan memberi kesan dan kita akan mudah terpedaya dengan maklumat yang tidak bernilai,” ujarnya.