Malaysia Dateline

AMANAH serah kepada pihak berkuasa siasat salah laku ahlinya

AMANAH menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menyiasat insiden salah laku membabitkan ahli-ahlinya.

Setiausaha Agung AMANAH, Datuk Dr Hatta Md Ramli berkata, beliau yakin siasatan akan dilaksanakan secara adil ekoran dakwaan keganasan yang dilakukan terhadap sayap wanita parti itu.

“Laporan media berkaitan beberapa laporan polis mengenai kes jenayah yang melibatkan ahli- ahli Parti Amanah Negara (AMANAH) adalah dirujuk.

“Berdasarkan perkara di atas, AMANAH menyerahkan kes sedemikian kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan dan yakin siasatan yang adil akan dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, polis dilaporkan sedang menyiasat aduan seorang wanita AMANAH yang didakwa dikasari, manakala adik perempuannya ditumbuk seorang lelaki dalam satu mesyuarat di Teluk Intan, Perak.

Siasatan dibuat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan, kata Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner (ACP) Kamarudin Mat Salleh mengesahkan pihaknya telah menerima laporan tersebut.

Aduan itu menyebut Ketua Angkatan Wanita AMANAH (AWAN) Teluk Intan telah ditolak sehingga jatuh oleh Ahli Jawatankuasa AMANAH Perak Safarizal Salleh.

Sementara itu bercakap kepada Malaysia Dateline semalam, Safarizal berkata telah berlaku provokasi terus menerus termasuk cubaan membuka dan mengetuk pintu selain menjerit dengan pelbagai tohmahan ketika pertemuannya bersama Jawatankuasa Aduan AMANAH Nasional.

Dilaporkan, Setiausaha Politik kepada Pengerusi AMANAH Perak itu juga telah membuat laporan polis pada hari kejadian berkaitan insiden di Hotel Rivertel, Teluk Intan itu.

Pada masa sama, portal Berita Perak menyiarkan klip rakaman video berdurasi 13 saat yang menggambarkan provokasi terbabit sebelum berlaku rempuhan masuk ke bilik mesyuarat bagi siasatan kes pendaftaran cawangan palsu.

Dalam pada itu, Hatta menegaskan agar ahli-ahli AMANAH menghormati dan bertindak mengikut lunas Undang-Undang Negara dan Perlembagaan parti dalam semua urusan kepartian.