Akta MKN: Amanah serah memorandum bantahan mohon campurtangan YD Agong

Akta MKN: Amanah serah memorandum bantahan mohon campurtangan YD Agong

Parti Amanah Negara (Amanah) hari ini memohon perkenan Yang Di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu untuk menolak Undang-undang Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang diluluskan Dewan Negara, 3 Disember 2015.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Parti Amanah Negara (Amanah) hari ini memohon perkenan Yang Di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu untuk menolak Undang-undang Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang diluluskan Dewan Negara, 3 Disember 2015.

Permohonan itu dinyatakan dalam memorandum yang diserahkan kepada pegawai perhubungan Istana Negara, Mohd Husni Yusup petang tadi.

Husni memberi jaminan akan memanjangkan memorandum tersebut kepada Tuanku Sultan untuk diambil perhatian.

Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub berkata, sewaktu menyerahkan memorandum tersebut, Husni sendiri mengakui Majlis Raja-raja meminta kerajaan mengkaji semula MKN sewaktu bersidang pada 17 Februari lalu.

Beliau merakam setinggi-tinggi perhargaan kepada Majlis Raja-raja yang mengambil kira kerisauan rakyat berhubung MKN dan merayu agar Yang Di-Pertuang Agong mengambil langkah yang pro aktif.

“Memorandum ini satu penegasan demi masa depan negara bahawa Tuanku Sultan harus membuat satu tindakan yang lebih proaktif kerana ini bukan masalah Raja-raja Melayu, bukan masalah parti politik tapi masalah negara.

“Kita melihat ini kepentingan negara. Maka Amanah hari ini mengambil tanggungjawab menyerahkan memorandum kepada Tuanku,” kata beliau kepada pemberita selepas penyerahan.

Turut bersama beliau ialah Naib Presiden Amanah Datuk Dr Mujahid Yusuf Rawa dan setiausaha Agung Mohd Anuar Tahir.

Sementara itu, kira-kira 100 orang berkumpul di luar istana bagi mendengar ucapan pimpinan parti sementara memorandum diserahkan.

Antara pemimpin yang berucap ialah Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad yang juga ahli Parlimen Shah Alam, Pengerusi Amanah Terengganu Raja Kamarul Baharin Shah yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu dan Exco Pemuda Faiz Fadzil.

Presiden Amanah Mohad Sabu pula berucap selepas selesai sesi penyerahan memorandum.

Pada 17 Februari lalu, Majlis Raja-raja berpandangan beberapa peruntukan dalam RUU MKN perlu diperhalusi selepas Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali menyembahkan taklimat mengenai rang undang-undang itu pada Mesyuarat Majlis Raja-raja yang ke-240 di Istana Negara di Kuala Lumpur.

Rang Undang-undang MKN 2015 yang memperuntukkan 15 kuasa khas bagi penubuhan MKN serta pasukan keselamatan mengawal dan menyelaras operasi berkaitan keselamatan diluluskan Dewan Rakyat pada 3 Disember lalu dan kemudiannya diluluskan Dewan Negara pada 22 Disember.

Seramai 107 ahli Parlimen menyokong, manakala 74 ahli Parlimen menolak RUU itu ketika sesi pengundian belah bahagi dilakukan.

Banyak pihak sebelum ini melahirkan kebimbangan bahawa RUU MKN akan memberi kuasa yang luas kepada Perdana Menteri sebagai Pengerusi Majlis Keselamatan Negara untuk mengisytiharkan sesuatu kawasan sebagai kawasan keselamatan atau ‘security area’.

TAGS