Amanah seru Melayu tolak kempen perkauman sempit

Amanah seru Melayu tolak kempen perkauman sempit

 

Pengundi Melayu di Parlimen Sungai Besar dinasihatkan supaya tidak terperdaya dengan kempen pilihan raya bersifat  perkauman.

Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (Amanah), Anuar Tahir berkata, sentimen tersebut tidak relevan dengan keperluan sebenar rakyat di negara ini yang mahukan pemimpin cakna rakyat dan bebas rasuah.

“Pengundi-pengundi Melayu tak sepatutnya masih termakan dengan kempen-kempen perkauman.

“Dakwaan dikitar semula bahawa Melayu akan hilang kuasa jika pembangkang menang, tidak berpandukan fakta.

“Begitu juga fitnah kononnya Amanah boneka DAP dan sebagainya. Itu hanya mahu mengalihkan perhatian dan masalah sebenar rakyat yang terbeban dengan peningkatan berganda kos sara hidup,” ujarnya ketika ditemui di Pejabat Amanah Parlimen Sungai Besar baru-baru ini.

Sehubungan itu, beliau berharap jentera pilihan raya Amanah giat memberi penjelasan kepada bakal pengundi berhubung fitnah perkauman berkenaan.

“Kita berharap anggota parti bekerja keras untuk menangkis kempen mengapi-apikan semangat perkauman ini,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Anuar yakin pengundi di Sungai Besar mahukan pemimpin dari parti yang berintegriti dan berusaha menyelesaikan permasalahan rakyat.

“Kita bina politik baru yang menekankan urus tadbir baik dan telus dengan manfaatnya akan lebih banyak diperoleh rakyat.

“Saya percaya pengundi di Sungai Besar terutamanya golongan muda menyedari keperluan ini dan bijak membuat pilihan,” tambahnya lagi.

Untuk rekod, 67.16 peratus daripada jumlah keseluruhan 42,655 pemilih berdaftar di Parlimen Sungai Besar merupakan pengundi Melayu.

COMMENTS

Wordpress (0)