Malaysia Dateline

Penduduk Palestin dihalang masuk ke Masjidil Aqsa oleh tentera regim haram Israel

Bantah kekejaman Zionis Israel di kedutaan Amerika hari ini

Kesal dengan kekejaman zionis Israel terhadap umat Islam Palestin khususnya di Tebing Barat apabila kuasa penjajah itu bertindak menutup Masjidil Aqsa, Amanah menyeru umat Islam menyatakan bantahan kepada sekutu Israel, Amerika Syarikat di hadapan kedutaan negara tersebut selepas solat Jumaat hari ini.

Presidennya Mohamad Sabu berkata, rejim zionis Israel tidak pernah berhenti melakukan kekejaman terhadap rakyat Palestin.

“Dengan disokong tuan besar Amerika Syarikat, zionis semakin menggila apabila menyerang umat Islam yang ingin menunaikan tanggungjawab agama di pekarangan Masjid al-Aqsa. Ratusan cedera diserang tentera rejim yang mahu menghalang umat Islam menunaikan solat di masjid suci itu.

“Perbuatan tentera rejim menyerang, menceroboh dan menghalang umat Islam memasuki Masjid al-Aqsa ini bukan sahaja melanggar segala bentuk nilai dan norma keadilan masyarakat bahkan juga amalan agama dan akhlak kemanusiaan,” tegas beliau.

Mohamad berkata, isu Palestin dan al-Aqsa bukanlah berkisar tentang isu akidah semata-mata tetapi ia adalah isu kemanusiaan sejagat yang perlu diangkat ke mata dunia agar melihat betapa kejamnya tindakan rejim zionis Israel.

Sebagai manusia yang menyanjung tinggi hak asasi dan nilai-nilai kemanusiaan, ujarnya pencerobohan zionis Israel terhadap tempat-tempat suci ini mesti dibantah dan kekejaman ini mesti dihentikan segera.

“Oleh itu, seluruh ahli dan penyokong Parti Amanah Negara diminta turun beramai-ramai menyertai bantahan di bangunan Kedutaan Amerika Syarikat selepas solat Jumaat, 21 Julai 2017. Ahli Amanah diminta menunaikan solat Jumaat di Masjid Tabung Haji dan kemudian bersama-sama menyertai perarakan ke Kedutaan Amerika Syarikat.

“Ayuh, beramai-ramai kita bantah dan hentikan tindakan zalim dan kejam rejim zionis Israel yang disokong Amerika Syarikat ini,” tegas beliau lagi.