Malaysia Dateline

AMANAH setia kepada rakan-rakan seperjuangan

Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Salahuddin Ayub menyifatkan ahli parti itu setia terhadap rakan-rakan seperjuangan.

“Kita di Pulai, kita tahu bagaimana ia bermula. Orang-orang macam Tok Hambali yang bersama kita, Azmi bersama kita, yang dulu tidak bersama kita, sekarang setia bersama.

“Orang kata nak uji seseorang itu setia atau tak, mestilah orang kata, bersama di saat senang dan susah.

“Maka kita dapat menilai kawan-kawan dan mereka yang bersama dengan kita. Kita ada satu nilai, manusia ini akan dinilai dengan satu perkataan, iaitu nilai pada diri, harga diri.

“Kalau kita punya harga diri, kita boleh dijual, boleh dibeli dengan harga yang mahal.

“Perjuangan kita mahal, bukan perjuangan kita boleh dilelong, atau pun boleh dirunding di tepi jalan, di pasaran gelap,” katanya dipetik di FB live beliau.

Ahli Parlimen Pulai itu berkata, AMANAH juga tidak akan membakar jambatan (hubungan) dengan sesiapa walaupun pada ketika ini mereka sudah bersama dengan puak di sebelah sana.

“Diucapkan mereka selamat berjaya, tapi jika mereka tidak berjaya, maknanya kita masih punya peluang. Tidak hari ini, esok, tidak esok, lusa, tidak tahun ini, tahun hadapan, Kebenaran akan membuktikan.

“Kalau kita nak berjuang, nak senang dalam perjuangan ini, orang kata kita boleh lompat ke ‘kapal yang lain’, tetapi AMANAH tidak begitu.

“Kita ada prinsip dan nilai yang kita perjuangankan. Kami konsisten, orang Arab kata istiqomah.

” Kita tidak mudah alpa dengan lamunan atau khayalan dalam melaksanakan perjuangan ini,” katanya sambil menambah kemelut politik baru-baru ini hanyalah satu permulaan dari satu episod, tetapi bukan berakhir selama- lamanya.

Krisis politik yang berlaku mutakhir ini menyaksikan Johor di bawah Pakatan Harapan (PH) kini berpindah ke tangan Perikatan Nasional (PN) dengan lantikan seorang Menteri Besar yang baharu Adun Benut (BN) Datuk Hasni Mohammad oleh SUltan Johor pada 28 Februari lepas, mengantikan Datuk Sahrudin Jamal dari Bersatu.