Malaysia Dateline

AMANAH setuju Agong tentukan tarikh PRN12 Sarawak

Parti AMANAH Negara Negeri Sarawak bersetuju jika tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 Sarawak ditentukan oleh Yang di-Pertuan Agong dan Tuan Yang Terutama (TYT) Negeri Sarawak.

Timbalan Pengerusinya, Hud Andri Zulkarnaen berkata, merujuk kepada laporan media pada 15 Mei lalu, Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Tun Openg akan menyerahkan kebijaksanaan kepada Yang di-Pertuan Agong dan TYT Sarawak bagi menetapkan tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.

“Situasi pendemik Covid-19 di negeri ini meningkat setiap hari dan tiada tanda-tanda ia akan pulih sepenuhnya.

“Maka, AMANAH Sarawak berpandangan PRN12 harus ditangguhkan agar kita semua fokus bersama mematikan penularan pendemik Covid-19 daripada terus merebak,” tegasnya dalam satu kenyataan.

Jelas Hud Andri, AMANAH Sarawak sangat bersetuju dengan kenyataan Ketua Menteri Sarawak seperti yang dilaporkan dalam portal Sarawak Voice pada 28 Februari lalu bahawa nyawa rakyat adalah lebih penting ketika ini.

“Kita mahu rakyat turun mengundi dalam keadaan selamat dan selesa serta mampu memilih mengikut pilihan mereka,” ujarnya lagi.

Justeru, katanya AMANAH Sarawak turut mendesak agar kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) mencari penyelesaian segera atas isu-isu rakyat dan pengurusan Covid-19 di negeri itu.

Tambah bekas calon Dewan Undangan Negeri (Dun) Beting Maro itu, antara isu yang harus diambil perhatian ialah pendidikan, pembelian vaksin serta kelengkapan perubatan dan hospital bagi menempatkan pesakit.

Malah, katanya kerajaan negeri juga harus membantu para peniaga kecil dengan serius yang telah pun hilang punca pendapatan sejak negara dilanda Covid-19.

“Selain itu, kita juga mengesa pihak berkuasa agar memberi kelonggaran kepada badan bukan kerajaan (NGO) tidak kira yang mesra kerajaan ataupun pembangkang untuk bersama-sama turun padang bagi membantu rakyat dalam tempoh yang amat sukar ini,” kata Hud lagi.