Amanah setuju PRN Pulau Pinang, dedah Khalid Samad

Selepas lama berdiam diri, Parti Amanah Negara (Amanah) hari ini secara rasmi menyatakan pendirian bersetuju dengan hasrat DAP untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang pada masa terdekat.

Dalam satu kenyataan hari ini, Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad berkata persetujuan itu bagaimanapun perlu dibuat atas nama PH setelah mendengar pandangan setiap parti komponen yang pastinya berbeza.

Mengakui Amanah sebagai sebuah parti baharu yang masih belum dikenali, Khalid berkata pilihan raya adalah salah satu medium terbaik untuk memperkenal dan menonjolkan parti.

“Ramai yang tidak mengikuti perkembangan politik, khususnya berhubung perpecahan Pas dan pembentukan Amanah. Pimpinan Amanah seperti Haji Mohamad Sabu, Salahuddin Ayub disangka  masih bersama Pas.

“Amat perlu untuk ditonjolkan kehadiran dan dasar-dasar perjuangan Amanah dan seterusnya PH. Tiada cara yang lebih berkesan untuk mencapai matlamat itu selain semasa pilihan raya,” kata beliau sambil menegaskan keputusan itu dibuat pada mesyuarat parti itu 25 Julai lalu.

Di Pulau Pinang, Amanah kata Khalid tidak mempunyai sebarang kerusi dan jika menyertai PRN, parti itu berpeluang untuk menang sekalipun tipis.

“Dengan kata lain, Amanah bagaikan “nothing to lose and everything to gain” dalam pilihan raya nanti. Atas sebab itu tidak ada keperluan bagi Amanah membantah cadangan PRN tersebut,” katanya lagi.

Selain Amanah, PRN Pulau Pinang ini juga kata Khalid, akan memberi peluang untuk membuktikan kepada rakyat bahawa Pakatan Harapan adalah gabungan parti politik yang telah bersatu secara kukuh dan mantap yang gagal dibuktikan semasa PRN Sarawak.

Katanya, walaupun PH bertindak lebih cermat dan mantap semasa Sungai Besar dan Kuala Kangsar tetapi masih banyak boleh diperkuatkan.

Sementara itu kata Khalid, BN sedang berusaha untuk merampas kembali Pulau Pinang dari Pakatan Harapan, dengan terbaru pendakwaan terhadap Lim Guan Eng atas alasan diada-adakan.

“BN akan melakukan berbagai tipu-helah dan manipulasi untuk menentukan matlamat mereka akan tercapai. Pakatan Harapan perlu bertindak pantas, sebelum segala perancangan BN selesai dilaksanakan, untuk Pulau Pinang terus kekal bawah Pakatan Harapan,” katanya lagi.

Mengulas pertembungan tiga penjuru dengan Pas, Khalid berkata hakikat ini harus diterima kerana situasi serupa akan berlaku pada Pilihan Raya Umum ke-14 nanti selagi Pas tidak mahu berubah.

“Adalah lebih baik realiti ini dihadapi sekarang supaya rakyat memahami ‘fahaman baharu’ yang dianuti Pas.

“Implikasi fahaman baharu ini akan juga semakin difahami Pas dan dengan itu adalah diharap mereka akan berubah pendirian,” katanya.

COMMENTS

Wordpress (0)