Malaysia Dateline

AMANAH Shah Alam selesaikan bantuan Fasa 1 kepada 1,000 penerima

Bantuan Keperluan Barangan Asas berikutan PKP #Covid19 Parlimen Shah Alam menyelesaikan misi Fasa 1 mereka semalam apabila berjaya mengedarkannya kepada 1000 penerima selepas lima hari beroperasi.

“Hari ini kami mengedar 200 lagi baki pek makanan menjadikan 1,000 kesemuanya untuk Misi Fasa 1,” kata Azli Yusof, Ketua AMANAH Shah Alam melalui facebooknya.

Untuk misi semalam, makanan utama yang disediakan adalah beras 5 kg dan telor satu papan di samping barangan keperluan lain.

Garis panduan PKP dipatuhi dengan baik bagi mengelakkan jangkitan Covid-19 berlaku ketika proses pembahagian dibuat.

Menurut beliau, mereka menghentikan dahulu misi ini supaya petugas / relawan dapat kuarantin diri dengan #dudukrumah masing-masing.

Ini penting sebagai langkah pemantauan dan berjaga-jaga kerana kami juga terdedah kepada kemungkinan jangkitan sepanjang operasi dijalankan, katanya.

“Saya bagi pihak Pusat Khidmat Ahli Parlimen Shah Alam mengucapkan setinggi penghargaan di atas sumbangan tenaga dan masa semua petugas / relawan.

“Juga di atas sokongan moral dari rakan-rakan jauh dan dekat. Ada juga yang telah mula menyalurkan dana untuk pembelian barangan apabila melihat usaha yang kami lakukan.

“InsyaAllah seminggu lagi, kami akan mengaktifkan semula operasi ini untuk Misi Fasa 2 dengan jumlah edaran bergantung kepada dana yang berjaya kami kumpulkan hasil sumbangan peribadi rakan-rakan dan derma mereka yang peduli,” katanya.

Sepanjang penghantaran pek barangan, kata Azli, mereka dapat rasakan rintihan dari yang terjejas dan terputus bekalan.

“Marilah kita menyumbang bersama untuk meringankan beban dan penderitaan.

“Mudah-mudahan wabak ini tidak berpanjangan, bebas sepenuhnya agar semuanya selamat dari jangkitan dan kembali menjalani kehidupan seperti sedia kala. Ameen,” katanya.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad dengan sokongan para penderma telah menyediakan RM60,000 untuk misi ini.

“Duit ini bukan datang dari saya sahaja tetapi juga orang awam yang prihatin dengan Shah Alam termasuk dari saya sendiri dan rakan-rakan,” kata Khalid ketika ditanya dari mana datang wang untuk menjayakan projek ini.

“Kami jangka operasi ini berjalan selama lima hari dan bajet yang ditetapkan adalah RM60,000,” kata Khalid sebelum ini.