AMANAH siap sedia hadapi PRU14

AMANAH siap sedia hadapi PRU14

Parti Amanah Negara (AMANAH) telah bersiap sedia menghadapi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) yang akan diadakan tidak lama lagi.

Setiausaha Agung parti, Haji Mohd Anuar Tahir berkata, segala persiapan ke arah itu sedang rancak dilakukan di seluruh negara.

Jelasnya, Ketua Biro Pilihan Raya AMANAH, Dr Hatta Ramli telah menjelajah ke semua 27 kawasan Parlimen di Semenanjung untuk meneliti persiapan yang dibuat bagi kawasan berkenaan.

Menurut beliau, AMANAH akan memastikan untuk membuat persembahan terbaik pada PRU14 kerana PRU14 ini merupakan pilihan raya umum pertama disertai parti berusia 2 tahun lebih itu.

“Persiapan jentera rancak dilakukan di setiap negeri dan kawasan dan AMANAH akan mempersembahkan yang terbaik kerana ini PRU kita yang pertama,” kata beliau dalam sidang media yang diadakan di Wisma AMANAH di Kuala Lumpur pagi tadi.

Kata Anuar, pada PRU14 ini, AMANAH akan bertanding di 35 kawasan Parlimen di Malaysia, 27 di Semenanjung, 6 di Sarawak dan 2 di Sabah.

Manakala bagi kerusi Dun kata beliau, AMANAH akan bertanding sekitar 100 kerusi Dun dan ini tidak termasuk kerusi Dun bagi negeri yang masih belum selesai sepenuhnya proses agihan kerusi seperti di Selangor.

Berhubung program Jelajah Pakatan Harapan (PH) ke negeri-negeri, beliau berkata, program berkenaan telah dibuat di semua negeri kecuali Pahang, Terengganu dan Selangor dan ia akan dibuat dalam masa terdekat.

Kata beliau, sambutan terhadap program berkenaan memberi keyakinan yang besar kepada PH untuk mengambil alih tampuk kuasa daripada Barisan Nasional (BN).

“Pada setiap program yang diadakan, ribuan orang hadir dan ini adalah sesuatu yang luar biasa,” tambahnya.

Beliau menaruh kenyakinan bahawa soal persempadanan semula kawasan pilihan raya dan wujudnya Akta Antiberita Palsu tidak akan menjejaskan sokongan rakyat kepada PH.

“Apabila kerajaan melonggokkan kaum-kaum tertentu di satu kawasan, dan kaum lain di satu kawasan lain, jelas semangat 1Malaysia telah diketepikan,” kata beliau mengulas ringkas soal persempadanan semula.

7.5
OVERALL SCORE
: 6.0
1 user vote x 9.0