Malaysia Dateline

SM Mohamed Idris

AMANAH sifatkan pemergian SM Idris kehilangan besar buat dunia aktivisme

Parti AMANAH Negara (AMANAH) menyifatkan pemergian Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) SM Idris hari ini adalah satu kehilangan besar kepada  dunia aktivisme di negara ini.

Setiausaha Agung AMANAH Mohd Anuar Mohd Tahir secara peribadinya mengenali tokoh hebat ini sejak sekian lama dan tidak menafikan beliau banyak mencorak pemikiran dan semangat aktivisme dalam membina hala tuju perjuangan.

“Saya memiliki hubungan yang akrab dengan beliau dan tidak dinafikan beliau banyak mencorak pemikiran dan semangat aktivisme kepada diri saya dan rakan-rakan dalam membina hala tuju perjuangan.

“Sesungguhnya pemergian ini merupakan satu kehilangan besar kepada dunia aktivisme di seluruh dunia,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, penglibatan beliau dalam dunia aktivisme sebenarnya begitu luas baik dalam dan luar negara, perjuangan beliau juga tidak terhad kepada isu kepenggunaan sahaja.

“Beliau istiqamah sejak dahulu bersuara lantang dengan mengkritik apa sahaja polisi kerajaan dan dunia yang dilihat tidak adil seperti pemusnahan hutan, perjanjian perdagangan berat sebelah, kecurangan dalam industri yang melibatkan pengguna dan pekerja, kezaliman Zionis Israel terhadap penduduk Palestin, penindasan etnik Rohingya serta banyak lagi,” ujarnya.

Anuar juga mengakui Pulau Pinang menjadi saksi tentang ketegasan Allahyarham membawa suara-suara rakyat bawahan yang dipinggirkan dari arus kemodenan dan pembangunan.

“Mewakili AMANAH, saya mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham atas pemergian ini. Sesungguhnya dunia Islam dan barat akan menangisi kehilangan seorang tokoh yang sentiasa yakin dengan ketulenan idealisme dan perjuangan,” katanya.

Pengerusi Sahabat Alam Malaysia (SAM) dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang SM Mohamed Idris meninggal dunia hari ini di Pusat Perubatan Gleneagles.

Beliau menghembuskan nafas terakhir pada pukul 4.45 petang di usia 93 tahun dan meninggalkan empat orang anak

Jenazah Allahyarham akan dikebumikan esok pagi di tanah perkuburan Masjid Hashim Yahya di Jalan Perak.