AMANAH Sik bantu anak-anak miskin bersiap hadapi persekolahan

Menjelang sessi persekolah yang hampir tiba, Parti Amanah Negara (AMANAH) kawasan Sik mengambil tindakan segera dengan menyalurkan sumbangan baju sekolah kepada golongan miskin bagi daerah Sik mulai semalam.

Menurut Ketua Amanah kawasan Sik, Sulaiman Ibrahim, sumbangan baju sekolah kali ini diberikan awal bagi memudahkan waris keluarga terbabit membuat persediaan bagi menghadapi sesi persekolahan yang akan bermula pada awal Januari tidak lama lagi.

“Kita memberi keutamaan kepada anak-anak penoreh getah.

“Selain itu mereka yang memperolehi pendapatan dibawah RM700 turut diberi peluang bagi mendapatkan bantuan yang disediakan.

“Malah golongan miskin yang berpendapatan bawah RM400 sebulan juga boleh membuat permohonan bagi mendapatkan bantuan baju sekolah tersebut,” jelasnya.

Leman melayan salah seorang kanak-kanak miskin di Sik membeli pakaian sekolah.

Beliau yang lebih dikenali sebagai ‘Leman Raja Lawan’ turut berkata, bantuan turut mensasarkan ibu tunggal yang mempunyai dua orang anak keatas dengan pendapatan mereka dibawah RM500 sebulan.

Ujarnya lagi, bantuan yang disediakan telah disumbangkan mulai 2 Disember dan akan diteruskan pada tanggal 9, 20 dan 25 Disember yang akan datang.

“Sumbangan turut mensasarkan untuk seramai 100 pelajar bagi 9 Disember yang akan datang.

“Manakala bagi 20 Disember juga Amanah kawasan Sik telah menyediakan sumbangan bagi 100 pelajar miskin.

“Namun begitu untuk tarikh terakhir 25 Disember yang akan datang, seramai 500 pelajar miskin dan golongan berpendapatan rendah akan dibantu bagi mendapatkan pakaian persekolahan tersebut, ” tegasnya.

Amanah kawasan Sik bukan saja memberi perhatian kepada sumbangan pakaian sekolah, sebaliknya turut melaksanakan tanggungjawab sosial seperti memberi sumbangan makanan dan keperluan harian.

Disamping itu bantuan memperbaiki rumah yang rosak dan daif turut dilaksanakan dengan kerjasama ARIF dan AWAN kawasan Sik.

Tambah Sulaiman lagi, Amanah kawasan Sik akan meneruskan sokongan kepada golongan yang kurang berkemampuan yang begitu ramai dalam kawasan Sik.

“Sebelum ini Amanah kawasan Sik turut membantu menyelesaikan masalah jambatan rosak, uzur dan runtuh.

“Kegagalan kerajaan negeri untuk menyelesaikan pelbagai masalah termasuk infrastruktur dan kemudahan asas dalam kawasan Sik membuktikan mereka adalah sebuah kerajaan yang gagal untuk melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan.

“Sehubungan itu pengundi Sik harus membuat perubahan dengan tidak lagi memberi mandat kepada Umno dan BN yang terbukti dengan begitu ketara tidak mempedulikan golongan miskin yang melarat dalam kawasan Sik, ” katanya.