AMANAH Sik tolak ‘calon basuh kaki’

AMANAH Sik tolak ‘calon basuh kaki’

Kecoh dari utara tanah air sejak malam tadi apabila ‘calon basuh kaki’ yang tidak direstui akar umbi bakal bertanding di Parlimen Sik.

Difahamkan calon bagi P.013 itu mulanya adalah ahli Bersatu yang baharu masuk AMANAH. Keputusan memilihnya sebagai calon bertanding di Parlimen itu sekali gus mengetepikan Ketua AMANAH Sik, Sulaiman Ibrahim.

Keputusan kepimpinan AMANAH Kedah dan Nasional tersebut juga dikatakan mendapat bantahan penuh daripada Ahli Jawatankuasa (AJK) AMANAH Sik.

Sulaiman yang juga Pengarah Biro Tanah, Pertanian dan Luar Bandar AMANAH Kedah sebelum ini adalah nama yang disebut-sebut sebagai calon bertanding untuk Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Selain beliau, juga terdapat beberapa nama yang didakwa dipersetujui di peringkat akar umbi malah kompromi dengan Bersatu sebelum ini di Parlimen tersebut juga dikatakan berada dalam keadaan baik.

Sulaiman Ibrahim

Lebih dua tahun, Sulaiman dan pasukannya yang terlibat secara langsung dalam penubuhan AMANAH Sik dikenali giat turun padang ke akar umbi membantu masyarakat setempat yang majoritinya miskin.

Sumber memberitahu Malaysia Dateline, Sulaiman pada awalnya masih akur jika beliau tidak dipilih sebagai calon bertanding dengan syarat diganti calon AMANAH lain yang banyak menyumbang buat kerja.

Walau bagaimanapun, keputusan menukar calon bertanding pada saat-saat akhir ketika pengumuman Parlimen dibubarkan semakin hampir amat mengejutkan banyak pihak.

Keputusan membawa ‘calon terbang’ itu turut mengundang rasa tidak puas hati rata-rata penyokong AMANAH dan Pakatan Harapan.

Sebahagian besar menggesa keputusan tersebut diteliti semula dengan mengingatkan ahli sendiri yang berjuang dari awal untuk menaikkan parti tidak harus dizalimi.

Turut diingatkan tentang beza budaya pengundi luar bandar dan pedalaman seperti di Sik yang mengambil kira faktor rapatnya calon dengan masyarakat setempat bukan sekadar atas nama parti sahaja.

Dalam perkembangan berkaitan, satu sidang media khas akan diadakan di Pejabat Operasi AMANAH Sik pukul 2 petang hari ini.

Bertemakan ‘AJK AMANAH Sik Sepakat Untuk Rakyat’, sidang media itu turut bersiaran secara langsung di Facebook Parti Amanah Negara Parlimen Sik dan Pemuda AMANAH Kawasan Sik.

Poster sidang media tergempar yang tular di media sosial sejak malam tadi juga tertera ungkapan, “Nak jaga calon kroni atau calon kepentingan rakyat?”

Parlimen Sik disandang Mansor Abd Rahman dari BN yang memperoleh 2,807 undi majoriti menentang calon Pas, Che Uda Che Nik pada Pilihan Raya Umum 2013.

9.7
OVERALL SCORE
: 9.0
2 user votes x 10.0