Malaysia Dateline

AMANAH Sik yakin bolosi kubu kuat Umno-BN

Walau apa jua usaha yang dilakukan oleh Umno-BN bagi menyekat kemaraan Parti AMANAH Negara khususnya bagi kawasan Parlimen Sik, ia ternyata tidak kesampaian.

Semakin banyak usaha yang dilakukan bagi menghalang AMANAH, AMANAH kawasan itu terus berkembang dan ia pasti mengecewakan Umno-BN.

Menurut Ketua AMANAH kawasan Sik, Sulaiman Ibrahim, rakyat sudah hilang kepercayaan kepada Umno-BN.

Malah katanya, segala tindakan zalim yang dilakukan oleh kerajaan pimpinan Umno-BN melalui polisi pemerintahan mereka amat mengecewakan.

Sulaiman mengenakan baju AMANAH kepada seorang ahli baharu.

“Kesal dengan kegagalan kerajaan negeri akhirnya AMANAH telah berjaya menarik sokongan baharu bagi Dun Jeneri.

“Perasmian PDM Kota Bukit dan perasmian cawangan AMANAH Kampung Kuala Ruman menyerlahkan lagi sokongan yang diterima.

“Sekali gus ini memperlihatkan bahawa AMANAH semakin mendapat tempat di hati penduduk dalam kawasan Parlimen Sik,” jelasnya lagi.

Beliau juga berkata, dalam program yang diadakan kelmarin pelantikan Ketua Cawangan, Ketua Wanita dan Ketua PDM turut disempurnakan.

Selain itu ujarnya, serahan borang kemasukan keahlian baharu juga turut diadakan.

“Sebelum menjelangnya PRU14 yang akan datang, banyak lagi ahli baharu akan diterima AMANAH.

“Dengan penyertaan yang semakin bercambah ia membuktikan AMANAH semakin mendapat tempat di hati rakyat kususnya penduduk miskin.

“Pembelaan berterusan yang dibuat oleh AMANAH kawasan Sik sejak penubuhannya lagi berjaya meraih sokongan penduduk,” ujarnya.

Oleh kerana itu katanya, target untuk merampas kembali kerusi Parlimen Sik bukan satu omongan kosong.

Sebaliknya ia mampu menjadi kenyataan dalam PRU14 akan datang.