Amanah sokong Anwar calon PM bukan Guan Eng, kata Khalid

Amanah sokong Anwar calon PM bukan Guan Eng, kata Khalid

Bagi menangkis kempen nakal yang diviralkan di media sosial kononnya Parti Amanah Negara (Amanah) menyokong Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng sebagai calon Perdana Menteri, parti gabungan Pakatan Harapan itu menegaskan bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi pilihan parti itu untuk mengetuai kerajaan jika gabungan itu menduduki Putrajaya.

Khalid SamadPengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad dalam satu kenyataan media berpesan kepada orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan fitnah yang dilemparkan.

“Ia hanyalah bukti keberkesanan Amanah dan banyak lagi tuduhan bakal dilemparkan kepada kami selepas ini.

“Oleh itu sentiasa tabayyun (mengesahkan) segala berita yang tersebar melalui media sosial dengan merujuk kepada laman web dan Facebook rasmi Amanah,” ujar beliau.

Menurut Khalid, baru-baru ini diviralkan berita kononnya Presiden Amanah, Mohamad Sabu menyokong perlantikan Guan Eng sebagai Perdana Menteri.

Beliau bagaimanapun berkata, hanya mereka yang gila akan mempercayai ‘fitnah gila’ sebegitu rupa.

Fitnah liar ini, kata Ahli Parlimen Shah Alam itu membuktikan mereka yang membenci kehadiran Amanah dalam politik negara berada dalam keadaan yang semakin terdesak.

“Sedangkan dunia maklum bahawa calon Perdana Menteri Malaysia yang telah diputuskan sebulat suara oleh Pakatan Harapan sejak penubuhannya ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Oleh itu usaha cuba menggambarkan Amanah sebagai budak suruhan DAP dengan menyatakan Amanah menyokong Lim Guan Eng sebagai Perdana Menteri adalah jelas terlalu terdesak,” ujarnya.

Beliau yakin tuduhan itu didorong perasaan cemburu pihak tertentu terhadap Amanah yang dalam masa beberapa bulan telah berjaya berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan rakan-rakan Pakatan Harapan.

TAGS