Malaysia Dateline

AMANAH sokong kepimpinan Mahathir sehingga selesai peralihan kuasa kepada Anwar

“Kita menyokong kepimpinan Tun selagi mana dia menjadi Perdana Menteri sehingga dia menentukan proses peralihan kuasa kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas daripada APEC (Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik).”

Itu penegasan Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar ketika topik peralihan kuasa hangat diperkatakan hari ini.

Beliau berkata demikian selepas ditanya ahli parti dalam dialog sempena Konvensyen Alumni Aktivis Siswazah AMANAH IPTA/IPTS Kali Pertama di Bandar Baru Bangi sebentar tadi.

“Kalau Pakatan (Harapan) terbubar terserahlah kepada siapa yang mendapat majoriti untuk membentuk kerajaan. Itu saja.

“Tetapi sehingga kini Pakatan tidak terbubar,” ujarnya dalam program di Hotel Tenera.

Menurut Ahli Parlimen Pokok Sena itu, beliau percaya pendirian yang dibuat oleh AMANAH dalam hal tersebut adalah satu kebijaksanan.

Mahfuz turut mengingatkan usah bersikap gopoh dalam mengambil keputusan.

“Kita mesti mengambil satu pendirian untuk menyelamatkan keadaan yang ada pada masa ini untuk memastikan platform bagi membangunkan Islam Rahmatan Lil Alamin itu akan lebih mudah untuk kita bawa dalam kehidupan masyarakat.

“Saya percaya bahawa keputusan yang dibuat oleh Majlis Presiden termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim satu keputusan yang sangat bijaksana iaitu menyerahkan kepada Tun untuk menentukan tarikh sebenar proses peralihan kuasa,” tegasnya lagi.

Dalam mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) kelmarin, timbul dakwaan bahawa pemimpin Bersatu memberi amaran untuk keluar PH jika Tun Dr Mahathir terus diasak untuk menentukan tarikh peralihan kuasa.

Pada masa ini, PH dan sekutunya Warisan mempunyai 138 kerusi di Dewan Rakyat.