Amanah sokong pelaksanaan kaedah diyat majlis jemaah pengampunan

Amanah sokong pelaksanaan kaedah diyat majlis jemaah pengampunan

Amanah Negeri Pahang menyokong dan menjunjung kasih saranan Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bagi Majlis Jemaah Pengampunan mengambil pandangan keluarga mangsa, serta menyambut baik cadangan tersebut.

Pengerusinya Dr Hamzah Jaafar berkata, cadangan itu sangat wajar diterap dan diselaraskan dalam semua Jemaah Pengampunan seluruh negara.

“Pelaksanaan cadangan tersebut bukan sahaja memberi ruang kepada pesalah untuk memperbaiki kesilapan, malah memberi hak kepada keluarga mangsa yang terkesan dengan perilaku jenayah yang menimpa orang yang disayangi.

“Secara tidak langsung ia mampu mengurangkan perasaan dendam dan permusuhan di antara pesalah dan keluarga mangsa,” ujar beliau.

Menurutnya, melalui pilihan sama ada meneruskan hukuman yang telah disabitkan ataupun memaafkan dan menerima diyat (ganti rugi), lebih menepati tujuan syariat atau maqasid syariah.

Cadangan tersebut, kata beliau memperlihatkan kebijaksanaan Tengku Abdullah dalam melaksanakan ketetapan syariat Islam dengan mengambil kira situasi dan realiti semasa.

“Amanah Pahang yakin bahawa ianya bakal menyerlahkan lagi keindahan Islam kepada masyarakat bukan Islam di negara ini,” kata Dr Hamzah.

Bersesuaian dengan prinsip Islam sebagai agama rahmat untuk  semua, beliau mencadangkan agar masyarakat bukan Islam juga turut dilibatkan dalam proses perundangan seperti ini kerana ia selari  dengan  sistem perundangan Islam yang adil tanpa mengira sempadan agama atau kaum.

“Amanah Pahang ingin merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan berdoa kepada Allah SWT, semoga Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Abdullah dan keluarganya berada dalam pemeliharaan-Nya,” ujar beliau.

COMMENTS

Wordpress (0)