AMANAH sokong semua parti pembangkang bersama Pakatan Harapan, tetapi tidak Bersatu dan Pas

Oleh BORHAN AHMAD

Parti Amanah Negara (AMANAH) mengalu-alukan semua parti pembangkang menyertai Pakatan Harapan (Harapan) bagi mencapai kemenangan dalam PRU-15 khasnya Muda.

Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad dalam sidang medianya semalam berkata, gabungan semua pembangkang perlu untuk mempastikan Barisan Nasional (BN) tidak menang dalam pilihan raya nanti.

“Bagi AMANAH, pertandingan tiga penjuru dalam pilihan raya umum akan datang tidak dapat dielakkan lagi tetapi untuk mengelakkan lagi banyak penjuru, semua parti pembangkang perlu bersama Harapan,” kata Khalid dalam sidang media selepas mesyuarat Pengurusan AMANAH di ibu pejabat parti itu.

Menurut Khalid, AMANAH mempunyai garis panduan yang jelas dalam bekerjasama.

“Garis panduan kita adalah jelas, yang lompat kita tidak akan terima,” kata Khalid yang merupakan Ahli Parlimen Shah Alam itu dalam sidang medianya.

Menurut Khalid, pihaknya sedar Bersatu pimpinan Tan Sri Mahiaddin Md Yassin mahu bekerjasama dengan Harapan manakala Pas pula mahu bekerjasama dengan Umno.

“Pas kata no to Pakatan Harapan kerana adanya DAP dan sebagainya manakala Bersatu pula mahukan Pakatan Harapan.

“Bagi Parti Amanah Negara, kita tidak boleh terima Perikatan Nasional, Bersatu atau Pas sebagai rakan dalam menghadapi Barisan Nasional.

“Bagi Bersatu khususnya, mereka kata boleh lompat parti kerana lompat parti itu tidak salah. Jadi kalau kita bekerjasama dengan mereka, bagaimana kita boleh jamin mereka akan kekal bersama kita setelah kita membantu mereka untuk menang.

“So, bagi AMANAH soal nak bergabung atau bekerjasama dengan Perikatan Nasional, Bersatu atau Pas tidak timbul langsung,” kata Khalid yang mempertahankan sikap sedia kerjasama dengan parti pembangkang lain khususnya Muda, Pejuang dan Warisan.

Bagi Khalid, walaupun ada pihak yang dakwa Muda, Pejuang dan Warisan juga pengkhianat, beliau tidak nampak hal itu kerana mereka kekal bersama pembangkang.

“Kita tahu mereka (Muda, Pejuang dan Warisan) juga ditawarkan (kerjasama) tetapi mereka kekal bersama pembangkang dan bekerjsama untuk mempastikan Barisan Nasional dikalahkan,” kata beliau.

Baru-baru ini, Muda pimpinan Syed Saddiq Abdul Rahman bekas Ketua Pemuda Pakatan Harapan memutuskan untuk menyertai Pakatan Harapan.

Namun sehingga kini Pakatan Harapan belum memutuskan samada untuk menerima atau tidak permohonan Muda itu.