Malaysia Dateline

AMANAH Sungai Rambai anjur karnival dampingi masyarakat

Karnival Peduli Rakyat yang dianjurkan oleh AMANAH Sungai Rambai pada Ahad lepas mendapat sambutan yang sangat menggalakkan.

Penduduk di sekitar Sungai Rambai datang berpusu-pusu memeriahkan karnival berkenaan untuk mengambil peluang mendapatkan barang-barang keperluan seperti tepung gula, kicap, lada dan lain-lain dengan harga yang murah di Pasar Peduli Rakyat dan juga barangan percuma di “free market” yang dibuka di tapak karnival berkenaan.

Pengunjung bertuah dengan hadiah yang dimenangi.

Selain itu, masyarakat tempatan juga mengambil peluang mengunjungi Gerai Pemeriksaan Kesihatan Percuma oleh doktor bertauliah dan juga Gerai Bekam dan Urut Refleksologi di tapak karnival.

Program tersebut dianjurkan oleh AMANAH Sungai Rambai dengan kerjasama AWAN Negeri Melaka.

Pengerusi Pakatan Harapan Melaka yang juga Pengerusi Parti AMANAH Negeri Melaka, Adly Zahari dalam ucapan perasmiannya menyeru rakyat melakukan perubahan pada pilihan raya akan datang ini.

Anak-anak pengunjung menyertai peraduan melukis yang diadakan di karnival berkenaan.

“Rakyat kini begitu terhimpit dengan kenaikan kos hidup akibat dikenakan GST, kenaikan harga minyak, kenaikan harga barang dan kejatuhan nilai ringgit. Semua ini menjadikan kehidupan rakyat begitu tertekan dan tidak ada cara lain lagi untuk mengubah keadaan ini selain menukar kerajaan yang sedia ada,” katanya.

Acara yang paling mendapat perhatian pengunjung, peraduan memancing ikan betuk.

“Pakatan Harapan telah berjanji untuk menghapuskan GST dalam tempoh 100 hari jika diberi mandat untuk menjadi kerajaan pusat,” tambahnya dengan disambut tepukan gemuruh oleh para pengunjung karnival.

Pengarah Karnival berkenaan, Zulkiply Harun berkata, “Ini adalah sumbangan kecil kami untuk membantu rakyat dalam usaha meringankan bebanan hidup mereka.”

Karnival berkenaan turut dimeriahkan dengan Pertandingan Memancing Betuk (Puyu Challenge) yang dianjurkan bersama dengan AMAN JDT yang telah telah menggamit penyertaan hampir 100 orang peserta yang terdiri daripada kaki pancing dalam kalangan penduduk tempatan.

Pengunjung karnival tidak melepaskan peluang untuk membuat pemeriksaan kesihatan yang diberikan percuma.

Seorang penduduk tempatan dari Parit Sidang Seman, Alias Yusof, 52, yang baru sahaja mendaftar sebagai ahli AMANAH di karnival berkenaan, telah muncul sebagai Juara Memancing Betuk dengan membawa pulang hadiah sebanyak RM300,

Turut hadir di dalam program karnival tersebut ialah pimpinan Pakatan Harapan negeri Melaka iaitu dari PPBM, PKR dan DAP.