AMANAH susun strategi promosi parti

AMANAH susun strategi promosi parti

Amanah sedang giat menyusun strategi ampuh untuk mempromosi parti itu yang masuk tahun ketiga penubuhannya tahun ini.

Penolong Setiausaha Agung parti itu, Mohd Faizul Mohd Salleh berkata, gerak kerja mempromosikan parti bukan sahaja bermatlamat menambah bilangan anggota tetapi juga untuk mendedahkan anggota baharu kepada latar belakang parti yang ditubuhkan sejak September 2015 itu.

 “Pasukan promosi yang ditubuhkan akan turun ke setiap negeri untuk mempromosikan parti dan aktiviti ini akan diteruskan selepas Konvensyen Nasional Amanah yang akan berlangsung dari 14 hingga 16 Disember ini,” katanya  kepada Bernama.

Menurut Mohd Faizul, keanggotaan Amanah kini mencecah 100,000 orang dengan 40 peratus daripadanya merupakan anggota generasi muda berusia bawah 40 tahun.

“Saya harap kita dapat menarik lebih ramai golongan muda untuk menyertai parti Amanah bagi memperkukuhkan lagi kedudukan parti,” katanya.

Katanya satu kursus induksi mengenai pengenalan parti akan diadakan yang dikhususkan kepada anggota baharu merangkumi pengisian antaranya objektif dan matlamat parti serta kaedah pendekatan parti terhadap masyarakat menepati peredaran masa.

“Kursus induksi ini antara lain mahu menyatukan anggota sedia ada dan baharu selain memastikan perjalanan perjuangan sentiasa berada di landasan yang betul,” katanya.

Konvensyen Nasional Amanah 2018 akan berlangsung di Ipoh, Perak dan dijangka dihadiri 1,000 perwakilan dari 156 kawasan sah berdaftar. Konvensyen kali ini merupakan yang pertama diadakan selepas parti itu menjadi sebahagian daripada parti komponen PH yang membentuk kerajaan.   – Bernama

 

Loading...