Malaysia Dateline

AMANAH syor formula 3-4-5 kerusi PH di Wilayah Persekutuan

AMANAH Bandar Tun Razak mencadangkan satu formula 3-4-5 dalam pembahagian kerusi Pakatan Harapan (PH) di Wilayah Persekutuan bagi PRU15 akan datang.

Menurut Ketua AMANAH Kawasan Bandar Tun Razak Ir. Hayatul Kamil formula ini telah sebulat suara dipersetujui oleh semua cawangan AMANAH di Bandar Tun Razak.

Formula ini bermaksud AMANAH diberi 3 parlimen, PKR 4 parlimen dan DAP 5 parlimen dalam pembahagian kerusi PRU15.

“AMANAH tidak diberi satu kerusi oleh PH ketika PRU14 di Wilayah Persekutuan, dengan prestasi baik dan disokong oleh ramai pengundi Kuala Lumpur, AMANAH perlu diberikan kerusi sekurang-kurangnya 3 kerusi dalam PRU 15 kali ini,” kata beliau.

Beliau juga mengisytiharkan AMANAH bakal bertanding di kerusi Bandar Tun Razak, memandangkan ahli parlimen kini Kamarudin Jaafar telah lompat parti menyokong kerajaan Mahiaddin .

Beliau berkata demikian di Majlis Berbuka Puasa AMANAH Bandar Tun Razak di IYC, BTR yang turut dihadiri oleh Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad dan wakil PKR, DAP, Pejuang, MUDA dan NGO.

Dalam ucapan beliau menegaskan dengan mempunyai 11 ahli Parlimen yang bertanggungjawab kepada amanah rakyat, tidak lompat parti seperti parti-parti lain, ini menunjukkan intergriti AMANAH amat dipercayai oleh rakyat Malaysia.