Malaysia Dateline

AMANAH tak akan sokong Belanjawan 2021 jika kekal apa yang ada

Parti Amanah Negara (AMANAH) tidak akan menyokong Belanjawan 2021 pada hari pengundian di Dewan Rakyat nanti jika ia kekal dengan apa yang ada.

Presidennya, Mohamad Sabu berkata, kesemua ahli Parlimen AMANAH sepakat untuk tidak menyokong Belanjawan yang ada jika tanpa apa-apa perubahan selari dengan ketetapan yang dibuat oleh pimpinan dalam Pakatan Harapan (PH).

“Itu kita bercakap dalam Parlimen, Ketua Pembangkang sudah cakap kalau hendak sokong mesti dipinda beberapa perkara.

“Kita, parti Pejuang pun bercakap, Umno pun bercakap juga beberapa perkara perlu dipinda untuk dapat sokongan, kita bersama PH (tidak sokong),” katanya ketika ditemui di Kota Bharu hari ini, lapor portal itu.

Antara perkara yang dituntut adalah moratorium pinjaman bank, pengeluaran dari Akaun 1 KWSP dan juga membatalkan semula peruntukan untuk penubuhan Jasa.

Sebelum ini, Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan dalam ucapan perbahasannya bahawa Belanjawan 2021 mungkin tidak akan disokong dan diluluskan sekiranya belanjawan tidak mementingkan keperluan rakyat.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad mengesahkan bahawa “Jika Belanjawan kekal dengan apa yang ada, kita tidak akan sokonglah.”

Tetapi, katanya, jika Menteri Kewangan mengubah Belanjawan ini sesuai dengan apa yang dituntut oleh Pakatan Harapan (PH), “AMANAH boleh menyokongnya.”