AMANAH tak layan video yang berniat jahat

AMANAH tak layan video yang berniat jahat

Parti Amanah Negara (AMANAH) berpendirian untuk tidak melayan atau membincangkan tentang video intim menteri kabinet yang tersebar kerana menyifatkan ia sebagai tidak relevan dan berniat jahat.

Pengarah Komunikasi parti AMANAH, Khalid Samad berkata, perkara tersebut dilihat hanya akan menghasilkan lebih banyak budaya video fitnah tentang menteri jika terus dilayan.

Katanya, jika individu tersebut serius ingin melaporkan perkara berkenaan kepada pihak berkuasa, mereka tidak akan menyebarkan video tersebut sehingga menjadi bualan di media sosial.

“Kami (AMANAH) tak bincang tentang perkara itu, bagi kita tak relevan. Kita tak nak layan, kalau layan, kelak akan menghasilkan budaya satu video dan silap hari bulan semua video menteri keluar.

“Orang yang betul serius, tak sebar luas perkara ini. Dia akan bawa ke polis atau pihak bertanggungjawab. Sebar luas ini lebih kepada ingin kenjatuhkan air muka orang. Kalau serius, bawalah ke pihak berkuasa yang relevan.

“Terpulang kepada rakyat (untuk mempercayai PH). Kalau rakyat berfikir, seharusnya jika benda ini serius dan bukan niat jahat, caranya ialah bawa video tersebut ke pihak polis atau jabatan agama,” katanya ketika sidang media, hari ini

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Persatuan Bagi Orang Malaysia (MAB) dan Persatuan Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS).