AMANAH tampilkan jurutera calon Parlimen Jelebu

AMANAH tampilkan jurutera calon Parlimen Jelebu

Parti Amanah Negara (AMANAH) menampilkan Haji Ir Mustafar Ab. Kadir, 65 tahun, seorang jurutera sebagai calonnya untuk bertanding merebut kerusi Parlimen Jelebu pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Naib Pengerusi AMANAH Negeri Sembilan itu memiliki Sarjana Rekabentuk Mekanikal dari University oF Aston, UK, Sarjana Muda Mekanikal & Kejuruteraan Pemprosesan dari Brighton Metropolitan University dan Sarjana Pengajian Islam (Syariah) dari Open Univerity Malaysia.

Mustafar dilahirkan pada 20 Januari 1953 dan memiliki isteri bernama Rosmihayati bt. Khairuddin.

Dari sudut profesyen, beliau pernah menjadi pensyarah di beberapa buah universiti iaitu Universiti Malaya (1980-1983), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) (1988-1991), Akademi Tentera Malaysia (2002-2004), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (2006-2010) dan Manipal International University (2015-2018).

Mustafar adalah CEO bagi syarikat Pendidikan Hira Sdn Bhd dan dalam bidang profesional, beliau adalah Pengarah Urusan Gopeng Sdn Bhd (1991-1994), Pengarah Urusan Gulf Industries Sdn Bhd (1994-1996) dan Pengarah Urusan Leader Mutiara Sdn Bhd (1996-1999).

Beliau juga adalah perunding bagi Kurnia Setia Developement (1999-2000), RN Konsult Sdn Bhd (2000-2005) dan BI Consultant Sdn Bhd (2006-2013).

Ketua AMANAH Rasah ini juga merupakan ahli kepada organisasi profesional iaitu Jurutera Profesional (BEM) dan Fellow of The Institution of Engineer, Malaysia (FIEM,8622).

Untuk PRU14 ini, antara misi beliau adalah untuk memenuhi Tawaran Harapan Negeri Sembilan antaranya, menghapuskan GST, memulihkan Felda, membangunkan tanah rezab milik kerajaan di kawasan Felda untuk generasi muda Felda, membina pusat pembangunan wanita di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) dan menyediakan kemudahan kewangan untuk usahawan muda.

Parlimen Jelebu merupakan salah satu daripada dua kerusi Parlimen yang akan ditandingi oleh Parti Amanah Negara (AMANAH) pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) akan datang, selain Parlimen Tampin.

Terdapat empat kawasan kerusi Dun di bawah Parlimen Jelebu iaitu Chennah, Pertang, Sungai Lui dan Klawang.