Malaysia Dateline

AMANAH Tanah Merah lancar program Bakul Rahmah Ramadan

Ketua Komunikasi AMANAH Kawasan Tanah Merah Wan Maharedzal Wan Din hari ini mengumumkan AMANAH kawasan itu berjaya menyerahkan agihan bantuan kepada 30 buah keluarga di dalam Parlimen Tanah Merah.

Ketika ditemui Malaysia Dateline hari ini, beliau memaklumkan bahawa program Bakul Rahmah Ramadan itu adalah inisiatif yang diusahakan oleh pihak AMANAH Tanah Merah bertujuan untuk menyantuni keluarga asnaf yang hidup susah.

“Setakat 25 Ramadan tahun ini, kita berjaya mengagihkan bantuan bakul Rahmah Ramadan ini kepada 30 buah keluarga fakir miskin yang susah dan terkesan akibat dari perlaksanaan PKP yang berterusan,” kata beliau yang juga AJK Pemuda AMANAH Negeri Kelantan.

Program Bakul Rahmah Ramadan ini lancarkan sejak 1 Ramadan yang lalu sebagai tanda kecaknaan dan keperihatinan AMANAH kepada rakyat yang memerlukan, terutama di dalam kawasan Parlimen Tanah Merah ini, kata beliau.

Program ini juga dijalankan hampir setiap hari dengan disertai oleh barisan pimpinan AMANAH Kawasan Tanah Merah termasuk sayap-sayap AMANAH kawasan itu.

Setiausaha AMANAH Kawasan Tanah Merah Dr Sayodi Husin ketika ditemui turut menjelaskan bahawa program ini dapat dijayakan hasil dari sumbangan peribadi yang diberikan oleh para AJK pimpinan AMANAH Kawasan tersebut.

“Walaupun kita bukan parti kerajaan, ini semua tidak menghalang para ahli dan pimpinan parti di kawasan kita untuk terus memberi sumbangan dalam bentuk wang ringgit dan tajaan barangan bagi menjayakan program ini,” kata Sayodi yang juga merupakan Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Negeri Kelantan.

Rakyat di negeri Kelantan kebanyakannya terkesan akibat dari perlaksanaan PKP yang berterusan, pendapatan mereka terjejas terutama dalam bulan Ramadan ini.

“Kita harap dengan sumbangan ini dapat meringankan beban mereka untuk mengharungi bulan yang mulia ini,” tambah beliau lagi.

Bakul Rahmah Ramadan yang disumbangkan kepada golongan asnaf oleh AMANAH Kawasan Tanah Merah ini mengandungi pek bekalan makanan dan wang tunai yang diserahkan sendiri oleh pimpinan AMANAH kawasan kepada penerima.