Malaysia Dateline

AMANAH Tanah Merah tegas pertahan semua kerusi ditandingi PRU14

AMANAH Kawasan Tanah Merah bertegas untuk mempertahankan mana-mana kerusi yang telah ditandingi pada PRU14 dalam pilihan raya akan datang.

Pengarah Pilihanraya AMANAH Kawasan Tanah Merah, Raja Ahmad Zulfakar Raja Man berkata, kerusi yang dipertahankan untuk ditandingi atas kuota AMANAH itu termasuk N26 DUN Bukit Panau.

Menurutnya, AMANAH kawasan itu telah membuat persiapan rapi untuk menyertai PRU15 walaupun tarikhnya masih belum dipastikan.

“Sejak PRU14 dulu, kita sudah buat pelbagai persiapan gerak kerja pilihan raya terutama di kerusi yang telah kita tandingi sebelum ini”, katanya dalam satu kenyataan kepada Malaysia Dateline hari ini.

Sehubungan itu, beliau menegaskan pihaknya tidak mungkin akan melepaskan kerusi sasaran tersebut.

“Kita juga telah menjalankan pelbagai gerak kerja pilihan raya dan kebajikan rakyat,” tambahnya.

Terdahulu, timbul desas-desus kononnya terdapat parti komponen Pakatan Harapan (PH) Kawasan Tanah Merah yang turut berminat untuk mengambil alih kerusi DUN Bukit Panau.

Mengulas lanjut, Raja Ahmad Zulfakar berkata, AMANAH akan mempertahankan kawasan yang ingin ditandingi berdasarkan rekod dan prestasi persediaan pilihan raya lalu.

“Mahu bertanding dalam pilihan raya, kita mesti ada persediaan, sama ada dari status keaktifan organisasi parti di peringkat kawasan dan cawangan, persiapan jentera pilihan raya, program bersama rakyat yang dijalankan dan banyak lagi.

“Setakat ini, kita aktif turun padang bertemu rakyat, contohnya program Bakul Rahmah Ramadan 2021 yang dibuat sepanjang bulan puasa dengan agihan sumbangan dan ziarah kepada lebih 50 buah keluarga,” ujarnya.

Beliau turut menambah, mengikut rekod gerak kerja dan hasil maklum balas yang diterima, AMANAH kawasan yakin untuk memberi tawaran yang lebih baik kepada rakyat di Tanah Merah pada PRU15.

Sebelum ini tular rakaman video oleh Pengerusi PKR Kelantan merangkap Ketua PKR Cabang Tanah Merah Suparadi Mohd Noor yang menganggap calon-calon PH Kelantan pada PRU14 lalu sebagai tidak berkualiti dan pemilihan yang dibuat bersifat ‘tangkap muat’ sahaja.

Untuk rekod, PH Kelantan bertanding dalam semua 14 kerusi Parlimen dan 45 kerusi DUN pada PRU14.

Walau bagaimanapun, dua kerusi DUN yang diwakili PKR terlepas apabila berlaku masalah sebelum penamaan calon dijalankan.