Malaysia Dateline

AMANAH Tanjung Manis anjur program agih kurma di DUN Semop

Parti AMANAH Negara Parlimen Tanjung Manis telah menganjur pengagihan kurma kepada penduduk di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Semop baru-baru ini.

Menurut pengerusinya, Fadillah Sabali program tersebut adalah sebahagian daripada beberapa aktiviti yang dirancang bagi menyemarakkan lagi bulan Ramadan kali ini.

Katanya, pengagihan kurma telah berlangsung di Kampung Bruit, Penipah, Bintangor dan di sekitar DUN Semop.

“Alhamdulilah…pengagihan kurma kepada penduduk telah diketuai oleh Bolhassan Jol yang mewakili saya untuk prgram ini kerana tidak dapat hadir ekoran Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri ini.

“Walaupun Ramadan kali ini masih dalam suasana pandemik Covid-19, namun kemeriahan dan kegembiraan menyambut bulan ibadah ini seharusnya perlu diraikan dalam standard operasi prosedur (SOP) yang ditetapkan,” ujarnya ketika ditemui di Pejabat AMANAH Sarawak di Kuching, hari ini.

Fadillah yang juga Setiausaha AMANAH Sarawak berkata, selain program edaran kurma, pihaknya turut mengadakan menyampaikan sumbangan kepada beberapa buah masjid dan surau dalam menjalankan aktiviti sepanjang Ramadan ini.

“Berkongsi buah kurma adalah sebagai tanda kita saling berkongsi terutamanya dalam bulan puasa ini selain bersama-sama mengejar pahala sebanyak mungkin.

“Tidak hanya kurma, kita juga berusaha meraikan penduduk yang bertadarus dengan sedikit moreh,” tambah beliau lagi.