Malaysia Dateline

AMANAH Tanjung Manis santuni keluarga asnaf di Bintangor

Fadilah menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima di Kampung Bintangor, Sarikei hari ini.

Sempena sambutan Hari Kebangsaan tahun ini, AMANAH Tanjung Manis telah mengadakan kunjungan ‘Ziarah Merdeka’ di Kampung Bintangor hari ini.

Kunjungan itu diketuai Ketua Kawasan Parti AMANAH Negara Tanjung Manis, Fadillah Sabali selain ditemani beberapa Ahli Jawatankuasa AMANAH kawasan.

Fadillah turut beramah mesra dengan penduduk setempat dan mendengar rintihan masalah berkaitan isu-isu di kampung berkenaan selain menyampaikan sumbangan berupa keperluan asas.

“Alhamdulilah. Walaupun aktiviti ini hanya diadakan berskala kecil tetapi sambutan yang diterima amat menggalakkan.

“Kebanyakan penduduk yang ditemui rata-rata melahirkan rasa kecewa berkaitan masalah sistem perparitan yang tersumbat di kampung terbabit.

“Ini menyebabkan ketidakselesaan penduduk yang mencium bau akibat sistem perparitan yang tersumbat itu,” ujarnya ketika ditemui di Kampung Bintangor, Sarikei.

Jelasnya, beliau telah dimaklumkan oleh penduduk tempatan berkenaan projek pembaikan dan naik taraf parit sebelum ini tetapi projek itu gagal menyelesaikan masalah yang dihadapi akibat struktur parit yang dibina tidak mampu mengalirkan air keluar ke sungai.

Oleh sebab itu, katanya, air yang kotor bertakung sekali gus mengundang pencemaran bau yang dibimbangi menularkan penyakit kepada penduduk setempat.

“Apabila berlaku hujan lebat ditambah lagi keadaan air sungai pasang, paras air boleh naik hingga masuk ke rumah yang terletak di kawasan rendah.

“Ini menimbulkan rasa tidak selesa kepada rumah penduduk yang terjejas. Kita berharap akan ada usaha untuk membaik pulih semula parit itu bagi menggelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku,” ujar Fadillah.