AMANAH tawar penyelesaian Islam kontemporari tangani isu tuntutan silang kaum, agama

Para pemimpin utama Pakatan Harapan di pentas perasmian Konvensyen AMANAH Nasional ke-2 di Alor Setar.

AMANAH menawarkan penyelesaian masalah dalam konteks perjuangan politik Islam kontemporari bagi menangani pelbagai kemelut hasil kemajmukan dan tuntutan bersilang antara kaum dan agama dengan mentajdidkan sifat kebijaksanaan yang diteladani kepimpinan Rasulullah s.a.w.

“AMANAH meletakkan tugasan mengurus perbezaan dan mendamaikan seaneka ‘konflik kepentingan’ itu sebagai kayu-ukur Islam sebagai penyelesai masalah dan tidak sebaliknya mengheret rakyat dan negara dalam kancah kemelut pertentangan kepentingan kaum dan agama yang berpanjangan dan tidak berkesudahan,” kata Presiden AMANAH Mohamad Sabu.

Berucap menyampaikan pidato presiden sempena Konvensyen AMANAH Nasional ke-2 di Alor Setar, pagi ini, Mohamad menegaskan cita-cita AMANAH untuk memainkan peranan penting dalam Pakatan Harapan bagi mengertikan dan memaknakan ‘Islam sebagai solution provider’ kepada rakyat dan negara.

“Justeru kami tidak gusar dengan cabaran legislatif atau penggubalan perundangan yang malangnya ditanggapi sesetengah pihak sebagai amat sensitif dan selalunya emotif,” ujarnya.

Menurut beliau, gerakan Islam dan parti-parti politik Islam mesti terus memperbaharui penekunan serta ijtihad politik dalam jalur pemikiran kesarjanaan Islam terkini.

Sehubungan itu, karya-karya besar dari penulisan ulama-intelektual Islam seperti Dr Yusuf al-Qardawi, Dr Imaddudin al-Khalil, Dr Muhammad Imarah dan lain-lain perlu ditekuni oleh pengamal politik Islam kontemporari untuk kekal relevan.

Berpandukan huraian ‘ijtihad politik’ mereka dalam pengembangan dan pengkayaan kitab-kitab ‘turath’ ulama silam, tambah beliau tokoh cendekiawan dan intelektual Islam tersebut membicarakan isu-isu demokrasi, perundangan, pembangunan ekonomi, keadilan sosial, kepelbagaian, perbezaan dengan cukup bertanggungjawab dan ilmiah.

“Parti Amanah Negara bertekad untuk mengambil tanggungjawab mengemudi bersama pembentukan negara-bangsa bertuah ini dengan naratif perjuangan pemikiran Islam kontemporari ini. Bahkan antara legitimasi kritikal kehadiran AMANAH adalah untuk mendepani cabaran getir ini dan bersama membangunkan negara,” katanya.

AMANAH juga, tambah beliau akan memastikan lima kemestian Maqasid al-Shariah (menjaga agama, nyawa, akal, keturunan,harta) dan memelihara keadilan (Hifzul ‘Adalah) dan memelihara kebebasan (Hifzul Hurriyah) akan terserlah dalam kesemua polisi awam di negara ini sehingga semua warga dan agama akan berasa selamat dan sejahtera serta dilindungi apabila Pakatan Harapan membentuk kerajaan.

“Oleh itu Parti Amanah Negara menekankan keutamaan dalam aspek ‘islah dan perubahan’, mengambil iktibar dari kejayaan metodologi Rasulullah dalam membina Madinah yang ‘vibrant’ dan ‘sejahtera’ berteraskan tujuan-tujuan besar Syariah,” tegas beliau.