Malaysia Dateline

AMANAH terbukti setia bersama PH, menyokong Anwar

Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, parti tersebut telah membuktikan kesetiaan dalam Pakatan Harapan (PH) serta dalam masa sama menyokong penuh Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Ahli Parlimen Pulai itu, pendirian AMANAH berada di landasan dan posisi yang betul dalam perjanjian bersama PH yang juga dianggotai PKR dan DAP.

“Kita tidak membanggakan diri tetapi AMANAH sehingga hari ini membuktikan setia dalam PH. Sikap yang diambil oleh AMANAH ini adalah sikap yang betul.

“Di dalam detik-detik yang getir pimpinan AMANAH telah membuktikan kita menjadi penghubung dan membina kembali jambatan bagi memastikan sokongan yang diberi kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim kali.

“Akhirnya, kita dapat mengekalkan angka 105 (sokongan Ahli Dewan Rakyat) dengan sokongan PH bersama-sama sahabat-sahabat dari Pejuang, Warisan dan Bebas,” katanya dalam program bual bicara di saluran Facebook NextStep Malaysia malam tadi.

Bulan lalu, blok pembangkang iaitu PH Plus dengan 105 sokongan Ahli Parlimen menyokong Anwar yang juga Presiden PKR sebagai calon Perdana Menteri.

Mengulas lanjut, Salahuddin yang juga bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu berkata nilai persahabatan AMANAH dalam blok pembangkang sudah teruji walaupun Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kemudiannya mendapat jumlah sokongan melebihi majoriti 111 yang diperlukan untuk membentuk kerajaan baharu.

“Walaupun kita masih tidak berjaya mencapai kejayaan dengan mengambil alih kerajaan tetapi saya sangat berbangga dengan kepimpinan AMANAH.

“AMANAH meskipun kecil dalam PH, tetapi sangat setia dalam persahabatan. Datuk Seri Anwar adalah pemimpin dalam PH manakala tokoh-tokoh besar seperti Tun Dr Mahathir dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bersama-sama satu hati dalam menentang kerajaan tebuk atap atau kerajaan pintu belakang

“Kita mengambil sikap ini berdasarkan mandat rakyat yang diberi kepada PH dalam PRU-14 lalu,” kata Salahuddin lagi.