AMANAH terima keputusan dengan terbuka, bertekad beri khidmat terbaik

AMANAH terima keputusan dengan terbuka, bertekad beri khidmat terbaik

Parti Amanah Negara (AMANAH) menerima keputusan yang telah dibuat rakyat pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai dengan terbuka namun penuh kesedaran.

Presidennya Haji Mohamad Sabu berkata, keputusan itu tidak sedikitpun melemahkan semangat anggota AMANAH malah menyemarakkan lagi tekad untuk terus bekerja kuat memberi khidmat terbaik kepada rakyat.

“Keputusan ini juga menuntut kerajaan Pakatan Harapan (PH) agar terus memperbaiki pemerintahan agar segala usaha dan inisiatif yang dilaksanakan dapat dirasai oleh rakyat.

“Di samping itu, kami juga akan berusaha merapatkan saf kepimpinan antara parti-parti dalam PH dan pada masa yang sama mempergiatkan lagi program-program penerangan kepada rakyat,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam PRK yang berlangsung semalam, Barisan Nasional (BN) membuat kejutan besar apabila merampas semula kerusi Parlimen P.165 Tanjung Piai dengan majoriti 15,086 undi.

Calon BN Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng yang juga Ketua MCA Bahagian Tanjung Piai itu meraih 25,466 undi.

Ahli Parlimen Tanjung Piai selama dua penggal bermula 2008 itu menewaskan pencabar utamanya, Karmaine Sardini dari PH yang memperoleh 10,380 undi.

Sementara calon Gerakan yang diwakili Wendy Subramaniam mendapat 1,707 undi; calon Berjasa, Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz (850 undi) serta dua calon Bebas, Dr Ang Chuan Lock (380 undi) dan Faridah Aryani Abd Ghaffar dengan 32 undi.